KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Parti Amanah Negara (Amanah) menyeru seluruh negara Islam khususnya di wilayah Teluk Arab serta Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) agar bangkit dengan keberanian dan bersatu memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata negara Islam tidak seharusnya membiarkan hanya segelintir pihak seperti Iran dan Yaman menanggung beban perjuangan menentang rejim Zionis.
Beliau berkata adalah amat mendukacitakan apabila masih ada negara di Teluk Arab dan negara Islam dalam NATO yang terus menjalin hubungan dagang serta diplomatik dengan Israel, bahkan menjadi laluan transit dan pembekal keperluan, yang secara tidak langsung mengukuhkan lagi kedudukan Israel.
“Ironinya, ada ketikanya mereka boleh bersatu menyerang Yaman tetapi gagal bersatu untuk berdepan dengan Israel yang didukung oleh kuasa besar Amerika Syarikat dan Eropah.
“Hakikatnya, kita kini berhutang budi kepada rakyat Eropah dan masyarakat bukan Islam di seluruh dunia yang lebih lantang membela hak asasi rakyat Palestin, berbanding sebahagian negara Islam yang hanya mengecam di pentas antarabangsa tetapi masih menjalin hubungan akrab dengan Zionis,” katanya.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata Amanah juga memandang serius kekejaman berterusan rejim Zionis, yang kini semakin rakus melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.
Beliau berkata serangan kejam yang menyasarkan hospital, masjid, gereja dan orang awam yang sekadar mahu mendapatkan bantuan makanan jelas membuktikan sifat kejam Zionis, yang tidak lagi mengenal peri kemanusiaan.
“Amanah akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin, bersama suara kebenaran dan bersama seluruh bangsa yang menentang kezaliman. Inilah tuntutan agama dan inilah tuntutan kemanusiaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial