KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Akauntan kini bukan sekadar penjaga kewangan, tetapi juga berada di barisan hadapan dalam memacu matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Malaysia dan menggerakkan perniagaan ke arah pertumbuhan mampan, menurut Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Presiden MIA Datuk Seri Dr Mohamad Zabidi Ahmad berkata akauntan mempunyai kedudukan istimewa untuk menerapkan kemampanan dalam tadbir urus, pengurusan risiko, strategi dan prestasi, dan mewujudkan nilai jangka panjang.
"MIA melihat akauntan sebagai pemangkin kemampanan yang berperanan mendorong amalan mampan. Sebagai penasihat yang dipercayai, mereka membantu organisasi beralih daripada keuntungan jangka pendek kepada strategi berasaskan tujuan yang mengambil kira manusia, alam sekitar dan kemakmuran," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Berpandukan MIA Sustainability Blueprint for the Accountancy Profession, Mohamad Zabidi berkata institut itu menggesa ahlinya untuk melangkaui kemahiran kewangan dan perakaunan tradisional dengan menguasai pelaporan bersepadu, jaminan data kemampanan, pengurusan risiko ESG dan kerjasama merentas fungsi.
"Untuk mencapai visi ini, MIA mengakui keperluan pengetahuan, kemahiran dan pemikiran baharu. Melalui pelan tindakan dan hala tuju kemampanan MIA, institut ini komited menyediakan latihan peningkatan kemahiran berstruktur, program pembangunan profesional berterusan (CPD), panduan teknikal mengenai ESG serta standard dan rangka kerja kemampanan," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata jurang kapasiti dan kompetensi, sistem data yang tidak matang, kos pematuhan bagi entiti lebih kecil masih menjadi halangan utama dalam mengguna pakai standard pelaporan kemampanan antarabangsa.
Ditubuhkan di bawah Akta Akauntan 1967, MIA ialah badan berkanun yang bertanggungjawab mengawal selia dan membangunkan profesion perakaunan di Malaysia, mewakili lebih 40,000 ahli.
Sementara itu, Presiden International Federation of Accountants (IFAC) Jean Bouquot berkata profesion perakaunan global kini berubah dengan menerapkan prinsip ESG ke dalam pelaporan utama untuk memenuhi jangkaan pelabur dan pihak berkepentingan.
"Kami menyedari permintaan daripada pelabur dan pihak berkepentingan lain untuk pendedahan korporat yang menceritakan kisah lengkap tentang penciptaan nilai jangka pendek dan panjang syarikat berkenaan. Maklumat kemampanan ialah bahagian penting dalam kisah itu, jadi kami berkempen selama bertahun-tahun di seluruh rangkaian kami untuk meningkatkan kesedaran tentang keperluan transformasi profesion yang berkaitan dengan kemampanan," katanya.
Bouquot berkata negara yang selari dengan standard pelaporan kemampanan antarabangsa berkualiti tinggi akan lebih menarik kepada pelabur, menikmati kelancaran operasi perniagaan dan menjadi rakan pilihan dalam rangkaian bekalan syarikat global.
Beliau turut memberikan amaran bahawa kegagalan mengguna pakai pendedahan ESG yang selaras dengan piawaian global boleh membawa kepada ketidakcekapan dalam pelaburan dan perdagangan serta membuka pintu kepada greenwashing.
Bouquot berkata IFAC telah menyemak semula Standard Pendidikan Antarabangsa untuk memastikan ia relevan untuk kemampanan, sambil menggesa penggubal dasar dalam pasaran sedang membangun agar menerapkan akauntan dalam strategi kemampanan negara.
"Kemampanan bermula dari dalam organisasi, dan di situlah terdapat akauntan profesional. Beberapa transformasi utama dihadapi setiap ekonomi akan berjaya sekiranya penggubal dasar dan pengawal selia memanfaatkan peranan penting profesion perakaunan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial