Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tiga Sahabat Cilik Jadikan Sukan Lasak Panjat Pokok Sebagai Hobi

04/09/2025 10:04 AM

TUMPAT, 4 Sept (Bernama) -- Ketika kebanyakan kanak-kanak dan remaja lebih gemar bermain permainan dalam talian atau menghabiskan masa bersama gajet, tiga sahabat cilik ini memilih sukan lasak memanjat pokok sebagai hobi.

Putri Nur Aisyah Mohamad Rizal, 14, Nur Husna Safiya Mohd Zulhusmi, 13, dan adiknya Nur Hanis Syuhada, 11, mula didedahkan dengan aktiviti memanjat pokok sejak kira-kira tiga tahun lepas.

Putri Nur Aisyah yang berasal dari Kampung Batu 14, Hulu Langat, Selangor berkata minatnya terhadap sukan itu bermula apabila dia sering menemani ayahnya yang aktif dalam aktiviti berkenaan.

Ad Banner

“Pada mulanya saya tidak berminat di samping takut, namun selepas ayah dan ibu memberi sokongan serta semangat, saya memberanikan diri. 

"Pokok pertama yang saya panjat ialah di Kajang, Selangor setinggi 15 meter selepas mendapat latihan daripada jurulatih Persatuan Memanjat Pokok Malaysia (MTCA) dan ayah sendiri,” katanya kepada Bernama di Teluk Renjuna sempena program anjuran Persatuan Pemanjat Pokok Kelantan di sini baru-baru ini.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata selain mendapat bimbingan MTCA, aspek keselamatan juga menjadi faktor penting yang mendorongnya terus aktif.

“Saya dilatih untuk memperkuatkan daya ketahanan otot dan kaki ketika memanjat serta teknik turun pokok yang memerlukan imbangan tinggi. Saya turut dibekalkan dengan peralatan khas seperti tali, sarung tangan dan topi keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Nur Husna Safiya berkata rasa seronok timbul apabila berjaya menakluk ketinggian pokok.

“Pada awalnya memang gayat dan takut, malah bila sudah berada di atas pokok, saya mahu cepat-cepat turun. Namun selepas terbiasa, perasaan itu hilang dan saya mahu lama berada di atas kerana puas hati dapat memanjatnya,” katanya.

Bagi Nur Hanis Syuhada pula, aktiviti memanjat pokok bukan sahaja unik dan mencabar malah lebih bermanfaat berbanding bermain permainan dalam talian.

“Saya mula mencabar diri selepas melihat kakak berjaya memanjat pokok. Sukan ini menyeronokkan kerana dapat berpeluh selain berkenalan dengan ramai rakan baharu dalam kalangan ahli MTCA,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada Putri Nur Aisyah, Siti Hawa Yahya, 41, berkata pada mulanya beliau risau tentang keselamatan anaknya, namun berubah selepas mengetahui latihan dijalankan secara profesional oleh jurulatih berpengalaman.

“Aktiviti ini bukan sahaja mendisiplinkan anak saya untuk menghadapi situasi kecemasan, malah membina keyakinan diri dan memberi pendedahan untuk berkomunikasi dengan orang ramai,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan