BALING, 4 Sept (Bernama) -- Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling, Kedah menjadi lokasi terbaru Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dan tarikan kepada rakyat.
PMR 2025 Kedah yang diterajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri membuka tirainya hari ini hingga Sabtu.
Bertemakan “Rakyat Prihatin, Negara Aman, Masa Depan Terjamin”, PMR 2025 Kedah mencerminkan aspirasi kerajaan dalam membina masyarakat yang saling peduli, bersatu dan berdaya tahan.
Program yang bermula 9 pagi hingga 10 malam pada Khamis dan Jumaat manakala pada Sabtu bermula 9 pagi hingga 6 petang itu, menampilkan pengisian lebih bersasar dengan memberi tumpuan kepada keperluan rakyat setempat.
Antara tarikan utama termasuk reruai perkhidmatan kerajaan Persekutuan dan negeri, inisiatif kesejahteraan komuniti, Jualan Rahmah MADANI, Jualan Agro MADANI, diskaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), perkhidmatan kesihatan, tawaran peluang pekerjaan serta program pertukaran topi keledar oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Selain itu pengunjung juga berpeluang mendapatkan perkhidmatan pertukaran minyak enjin motosikal serta mendapatkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Sebagai daerah yang sangat sinonim dengan sektor perladangan dan komoditi, pengagihan pelbagai biji benih serta anak pokok turut diadakan khusus untuk para pengunjung.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, dasar inklusif, keselamatan dan pembangunan seimbang terus diperkukuh untuk kesejahteraan rakyat Kedah khususnya dan Malaysia amnya.
Program ini sekali gus membuktikan komitmen kerajaan untuk membawa perkhidmatan terus ke pintu rakyat melalui pendekatan lebih mesra dan inklusif.
Majlis penutupan PMR 2025 Kedah dijadualkan Sabtu ini dan akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial