Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kilang EV Proton Manifestasi Kerjasama Erat Malaysia–China - PM Anwar

04/09/2025 03:40 PM

TANJONG MALIM, 4 Sept (Bernama) -- Peluncuran kilang kenderaan elektrik (EV) Proton pertama di Malaysia hari ini mencerminkan kerjasama erat Malaysia-China melalui Proton dan rakan strategiknya, Geely, sekali gus melonjakkan industri automotif negara ke tahap lebih tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil kerjasama itu bukan sahaja melibatkan pelaburan, malah membuktikan komitmen dalam pemindahan teknologi serta penyediaan peluang untuk melatih jurutera tempatan dalam usaha menguasai teknologi automotif masa hadapan.

“Saya ucap terima kasih kepada kerajaan China kerana dalam beberapa pertemuan dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang, kesediaan mereka untuk bekerjasama jelas terbukti.

Ad Banner

“Ini kerana selain memperoleh manfaat daripada kerjasama dalam industri ini, mereka juga bersedia memindahkan teknologi dan memberi ruang kepada anak-anak tempatan untuk turut terlibat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kilang EV Proton di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Anwar berkata pembangunan kilang EV Proton itu sejajar dengan dasar utama negara termasuk transisi tenaga, pelan induk perindustrian serta Dasar Automotif Nasional yang memberi tumpuan kepada penguasaan teknologi tinggi.

Ad Banner

“Pelancaran kilang EV ini memenuhi beberapa dasar. Pertama, dasar iklim negara iaitu transisi tenaga. Kedua, ia juga menepati pelan induk dan hala tuju perindustrian kita, dan tentunya Dasar Automotif Nasional,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga kerja Proton yang menunjukkan komitmen tinggi dalam merealisasikan projek bersejarah itu.

“Terima kasih kepada semua pekerja yang menunjukkan kesungguhan, bakat dan disiplin untuk mengharumkan bukan sahaja nama syarikat, tetapi juga nama negara tercinta,” katanya.

Anwar juga berharap kereta EV Proton dapat dikeluarkan dari kilang baharu di Tanjong Malim sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini, bagi dipertontonkan kepada lebih 20 ketua negara yang akan hadir.

Kilang pengeluaran itu dibangunkan di atas kawasan seluas 2.2 hektar dengan kos pembinaan dianggarkan mencecah RM82 juta.

Dalam fasa pertama, kilang tersebut bakal mengeluarkan model Proton EV e.MAS 7, diikuti model kedua, e.MAS 5, pada fasa kedua yang tarikhnya masih belum diperincikan.

Bagi fasa pertama, kilang berkenaan berupaya menghasilkan kira-kira 20,000 unit EV setahun dan apabila siap sepenuhnya, kapasiti pengeluaran dijangka meningkat sehingga 45,000 unit setahun.

Kilang ini juga dilengkapi dengan sistem digital canggih serta kawasan khas untuk EV, termasuk pemasangan bateri, keselamatan voltan tinggi, ujian elektrik, dan integrasi bahagian bawah EV.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan