Imigresen Johor Tahan 96 Pendatang

05/09/2025 09:57 AM

JOHOR BAHRU, 5 Sept (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia Negeri (JIM) Johor telah menahan 96 pendatang tanpa izin dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar Iskandar Puteri dan Kulai pada 3 Sept lepas.

Pengarahnya Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi melibatkan sepasukan pegawai dari Unit Tindakan Bahagian Penguatkuasaan dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bangunan Sultan Iskandar.

Beliau berkata berdasarkan risikan dan pemantauan, pihak Imigresen mendapati mereka yang ditahan bekerja dan tinggal di Malaysia tanpa memiliki permit atau pas yang sah.

"Sebanyak 199 warga tempatan dan warga asing telah diperiksa dalam operasi dijalankan terhadap 43 premis berasingan dan 96 yang ditahan terdiri daripada dua lelaki warga tempatan, Bangladesh (38), Indonesia (15), Myanmar (12) dan Pakistan (enam).

"Turut ditahan empat warga India, Vietnam (dua),  Nepal (satu), Thailand (satu), 10 wanita  warga Myanmar dan lima wanita Indonesia. Kesemua mereka berusia lingkungan 18 hingga 61 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(6) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Seorang warga asing dipercayai berperanan sebagai pengurus premis ditahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, manakala dua warga tempatan ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana melindungi warga asing,” katanya.

Mohd Rusdi berkata kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan