SERDANG, 4 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertahanan akan menambah baik kurikulum dan pengisian latihan bagi menggalakkan penyertaan mahasiswa Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) ke dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata usaha itu bagi menarik penyertaan mahasiswa ketika di universiti yang memberi manfaat serta tidak berakhir tanpa kesinambungan selepas tamat pengajian.
“Kita mahu lebih ramai daripada mereka (mahasiswa PALAPES) sekurang-kurangnya menjadi anggota simpanan ATM.
“Kita juga akan kaji faktor yang menghalang mereka daripada terus aktif setelah meninggalkan universiti,” katanya pada sidang media selepas menyampaian Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Turut hadir Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali.
PALAPES ialah program latihan ketenteraan di universiti awam yang melibatkan tiga cabang ATM – Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara – dengan tujuan melahirkan pegawai simpanan muda berdisiplin, berwawasan dan bersemangat patriotik.
Mohamed Khaled berkata langkah memperkukuh penyertaan PALAPES juga penting untuk mencapai sasaran kementerian mewujudkan nisbah seorang tentera tetap kepada seorang tentera simpanan berbanding jumlah semasa 121,000 tentera tetap dan 34,000 tentera simpanan.
Sementara itu, Mohd Nizam memaklumkan kira-kira sembilan peratus pelatih PALAPES menyertai ATM selepas menamatkan pengajian setiap tahun manakala 30 peratus lagi berbuat demikian selepas mendapat pekerjaan.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan akan menggunakan peruntukan secara berhemat sekiranya cadangan meningkatkan perbelanjaan pertahanan negara kepada 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 diluluskan kerajaan.
“Tumpuan utama ialah memperkukuh aset ketenteraan dan menjayakan penubuhan angkatan masa hadapan ATM.
“Apa-apa pun perlu ikut peraturan, bukan bermakna bila dapat peruntukan boleh terus beli apa sahaja. Kita tunggu kelulusan kerajaan dan rolling plan pertama tahun depan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial