PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Sebanyak 19 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Ambilan 2023 berjaya menempatkan diri di universiti terkemuka dunia yang tersenarai dalam 20 teratas “QS World University Ranking Global”.
JPA menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan kejayaan itu adalah hasil usaha gigih, disiplin tinggi dan daya juang luar biasa pelajar dan pendidik sepanjang mengikuti pengajian peringkat A-Level.
Antara universiti berprestij yang menjadi destinasi pelajar berkenaan ialah University of Cambridge, Imperial College London, University College London, King’s College London, The London School of Economics and Political Science serta The University of Edinburgh di United Kingdom.
Pelajar cemerlang yang berjaya termasuk Muhammad Umar Nor’azim dengan keputusan A-Level: 3A* yang diterima ke University of Cambridge dalam bidang Sains Psikologi dan Tingkah Laku dan Chng Suzanne (Keputusan A-Level: 4A*, University of Cambridge, bidang Kejuruteraan Kimia dan Bioteknologi).
Selain itu, Rubinthiran Yogarajah (Keputusan A-Level: 3A*, Imperial College London, bidang Kejuruteraan Kimia) dan Muhammad Fitri Hatim Zainuddin (Keputusan A-Level: 4A*, King’s College London, bidang Matematik).
“Pencapaian mereka bukan sahaja membanggakan diri, keluarga dan institusi pendidikan, malah turut membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan generasi berkelas dunia sekali gus mengangkat nama negara ke persada antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
JPA memaklumkan kejayaan itu mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI dalam melahirkan modal insan unggul berkelas dunia selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara berprestasi tinggi, berdaya saing dan disegani di pentas global.
“Kecemerlangan ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam menyantuni rakyat, berteraskan nilai kecemerlangan, integriti dan ihsan dalam melahirkan generasi pewaris negara yang berwibawa,” menurut kenyataan itu.
Menurut JPA, kesemua pelajar ini menggalas amanah besar sebagai duta kecil negara serta mencerminkan citra rakyat Malaysia yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing di peringkat global.
“JPA mendoakan agar mereka terus berjaya dalam pengajian, mengharumkan nama negara, serta kembali ke tanah air dan menyumbang tenaga sebagai modal insan berkualiti tinggi yang akan bersama memacu pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Malaysia pada masa hadapan,” menurut JPA.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial