PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti dan memadam 31 akaun palsu di Facebook yang menyalahgunakan nama Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
MCMC dalam kenyataan hari ini menegaskan tindakan penyalahgunaan itu bukan sahaja mengelirukan orang ramai, malah menggugat usaha serta fokus NSRC dalam melindungi masyarakat daripada jenayah penipuan dalam talian.
Menurut MCMC, maklumat rasmi mengenai NSRC hanya boleh diperoleh melalui saluran sah agensi penguat kuasa. Orang ramai juga digesa supaya berwaspada dan melaporkan sebarang akaun atau mesej meragukan kepada pihak berkuasa.
“MCMC akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), NSRC dan penyedia platform media sosial bagi mengekang penyebaran akaun serta maklumat palsu demi keselamatan pengguna Internet di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
NSRC ditubuhkan pada 14 Okt 2022 sebagai pusat operasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian merangkumi pengesanan dana yang dicuri secara lebih cepat dan pengambilan tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial