Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jangan Terperdaya Video AI Tawar Wang Guna Gambar MB Perak

03/09/2025 09:37 AM

IPOH, 3 Sept (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menasihati orang ramai supaya tidak terperdaya dengan kewujudan akaun TikTok palsu yang menggunakan gambar dan suara beliau melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menawarkan wang tunai dan meminta mangsa menghubungi nombor telefon tertentu untuk membuat tuntutan.

Beliau berkata sejak petang semalam, pihaknya menerima banyak aduan mengenai beberapa video di platform berkenaan yang seolah-olah memaparkan tawaran wang ringgit daripada beliau, sedangkan perkara itu tidak benar.

“Akaun TikTok terbabit bukan milik saya dan segala tawaran yang dibuat juga tidak benar, saya memohon supaya orang ramai tidak membuat sebarang transaksi dengan pihak yang tidak dikenal pasti.

Ad Banner

"Segala bentuk bantuan kerajaan hanya akan diumumkan melalui akaun media sosial rasmi Menteri Besar dan saluran rasmi kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saarani berkata perkara itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa atau membuat aduan kepada platform media sosial terbabit sekiranya ternampak akaun palsu berkenaan bagi mengekang penipuan digital daripada terus berleluasa.

Ad Banner

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan