Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Semangat Permuafakatan Perlu Terus Dihormati - Tuanku Muhriz

05/09/2025 01:22 PM

SEREMBAN, 5 Sept (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah agar semangat permuafakatan yang menjadi asas pembentukan negara merdeka dan berdaulat terus dihormati.

Baginda bertitah sebarang tuntutan dan perbuatan yang bercanggah dengan semangat itu perlu dijauhi demi kelangsungan kedaulatan sebuah negara merdeka, dengan rakyat menerima serta menghormati perbezaan, hidup berpadu, rukun dan damai.

“Semangat ini juga terpahat sebagai cogan kata dalam Jata Negara yang diwartakan sejak 1952 iaitu Bersekutu Bertambah Mutu,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Ad Banner

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Tuanku Muhriz bertitah nilai murni seperti kejujuran, amanah, tolong-menolong dan saling menghormati adalah asas penting dalam membentuk masyarakat harmoni serta sejahtera, dan umat Islam seharusnya mengamalkan nilai tersebut dalam kehidupan seharian bermula daripada pemimpin hingga rakyat.

Baginda bertitah umat Islam juga wajar mengambil peluang menunjukkan keindahan, kebesaran dan kesucian agama Islam kepada masyarakat bukan Islam melalui akhlak mulia kerana Islam menekankan hubungan sesama manusia.

Ad Banner

"Justeru, umat Islam perlu terus bersatu untuk memperkukuh perpaduan dan persaudaraan sesama sendiri serta menanam semangat kebersamaan dengan kaum lain. Sikap saling menghormati antara kaum juga amat penting," titah baginda.

Sementara itu, Aminuddin berkata masyarakat Islam unggul adalah masyarakat yang menghargai nasihat dan mengamalkan budaya menasihati. 

"Di sinilah terletaknya kesalinghubungan peranan ulama dan umara’ (pemerintah) dalam membina tamadun bangsa yang utuh dan bermaruah. Sinergi antara ulama dan umara’ adalah tunjang kepada pembinaan negara bangsa. 

"Dalam konteks Malaysia MADANI, sinergi ini perlu diperkukuh, bukan dengan satu pihak memusuhi satu pihak lain, bukan juga dengan hubungan saling mencurigai tetapi melalui sikap saling menghormati, mengiktiraf peranan masing-masing dan keikhlasan untuk membina sebuah negara maju dan makmur," katanya. 

Beliau berkata negara hanya akan makmur apabila pihak berautoriti melaksanakan dasar berteraskan hujah ilmu serta kekuatan moral, manakala golongan ilmuwan pula disokong dalam melaksanakan pelbagai kegiatan pencerahan dan pencerdasan umat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan