Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rakyat Perlu Teladani Akhlak, Peribadi Dan Perjuangan Rasulullah - Sultan Selangor

05/09/2025 02:03 PM

SHAH ALAM, 5 Sept (Bernama) -- Sambutan Maulidur Rasul yang raikan setiap tahun bukan sahaja bagi memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, malah lebih penting untuk meneladani akhlak, peribadi dan perjuangan baginda.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office bertitah Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh teladan terbaik dalam semua aspek kehidupan termasuk sebagai seorang pemimpin, pendidik, suami, bapa dan juga sahabat.

“Dalam suasana dunia yang penuh cabaran hari ini, umat Islam harus kembali kepada ajaran Rasulullah SAW dengan menghidupkan sunah baginda dalam keluarga, masyarakat dan negara. Hormatilah sesama insan, jauhilah perpecahan dan semaikanlah kasih sayang serta persaudaraan.

Ad Banner

“Semoga dengan mencontohi peribadi Rasulullah SAW, kita menjadi umat yang berakhlak mulia, beriman teguh dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan ummah dan negara,” titah Sultan Selangor yang turut  menzahirkan ucapan selamat menyambut Maulidur Rasul 1447H bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin kepada seluruh umat Islam.

Sultan Sharafuddin juga menzahirkan rasa syukur kerana seluruh rakyat diberi kesempatan untuk meraikan sambutan Maulidur Rasul tahun ini dan mengajak mereka untuk memperbanyakkan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW sebagai tanda cinta dan penghormatan terhadap Rasulullah.

-- BERNAMA

Ad Banner


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan