MELAKA, 5 Sept (Bernama) -- Jabatan Mufti Melaka akan menganjurkan Himpunan Komuniti Astronomi sempena fenomena gerhana bulan penuh atau blood moon, Ahad ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata program bermula 11 malam itu dijangka berakhir pada 3.30 pagi.
"Gerhana bulan dijangka berlaku pada 1.30 pagi, 8 Sept dan ia merupakan sebahagian daripada program sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1447H peringkat Melaka bertemakan "Membangun Ummah MADANI".
"Pada malam itu juga, Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil akan memyampaikan khutbah gerhana selain solat sunat gerhana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka 1447H/ 2025M di Pusat Islam Melaka, Bukit Palah di sini hari ini.
Terdahulu, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam mengetuai perarakan melibatkan 6,227 peserta sempena sambutan berkenaan yang diadakan di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit.
Sebanyak 114 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) berarak sejauh kira-kira 4 kilometer menuju Pusat Islam Melaka di Bukit Palah melalui Jalan Bukit Piatu dan Jalan Bukit Baru.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial