Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perarakan, Alunan Selawat Antara Pengisian Sambutan Maulidur Rasul 1447h

05/09/2025 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Ribuan umat Islam di seluruh negara hari ini menzahirkan rasa kasih dan rindu kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan menyertai perarakan sambil mengalunkan selawat sempena sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M.

Dengan mengangkat tema ‘Membangun Ummah MADANI’, penganjuran majlis di negeri-negeri diserikan dengan penyertaan daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, dan badan bukan kerajaan (NGO).

Di SERDANG, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Ad Banner

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada 9.26 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Anugerah Perdana Maulidur Rasul kepada seorang tokoh unggul serta enam penerima Anugerah Maulidur Rasul, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar mereka dalam pembangunan ummah dan negara.

Majlis itu dihadiri hampir 10,000 tetamu dan terdahulu, sebanyak 6,165 peserta daripada 120 kontinjen kementerian, badan berkanun serta agensi swasta mengambil bahagian dalam perarakan sambil mengalunkan selawat.

Ad Banner

Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 1447H/2025 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam di sini. 

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Salehuddin Saidin dengan hampir 600 hadirin di majlis berkenaan.

Di KELANTAN, hampir 300 penduduk di Kampung Kuala Pertang, Kuala Krai meraikan sambutan Maulidur Rasul dengan mengadakan perarakan sambil berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Kuala Pertang Adnan Mat Yassin berkata perarakan pada tahun ini disertai tujuh kontinjen termasuk pelajar pondok dari Al-Badriah Ahmadiah Kampung Telekong, ahli kariah Masjid Al-Solihin, Madrasah Nur Iman, Madrasah Kampung Mial dan Keroh serta Ziarah Kasih dan Bina Insan.

"Kami wujudkan semula sambutan Maulidur Rasul ini dengan mengadakan perarakan di kawasan kampung selepas kali terakhir diadakan 40 tahun lepas.

"Alhamdulillah, semua penduduk kampung berasa gembira kerana kita dapat berselawat bersama-sama dan mengeratkan hubungan silaturahim dengan semua generasi tanpa mengira peringkat umur sekali gus dapat mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan penduduk," katanya kepada Bernama.

Di TERENGGANU, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini.

Keberangkatan tiba baginda dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah pada 9.30 pagi disambut Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Turut berangkat Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Datuk Seri Muhammad Mu'az, Tengku Puteri Utama Raja Tengku Datuk Seri Nadhirah Zahrah, serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra dan sambutan itu diserikan dengan kehadiran kira-kira 1,000 tetamu dan dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran beserta terjemahan.

Pada majlis itu, Sultan Mizan berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu yang merangkumi Anugerah Tanah Perkuburan Terbaik, Anugerah Sekolah Menengah Agama Terbaik serta Anugerah Koperasi Masjid Terbaik.

Di KEDAH, Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah 2025 di Wisma Darulaman, di sini.

Turut berangkat, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Pada majlis itu, Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul dan  Anugerah Khas peringkat negeri.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan ceramah khas Maulidur Rasul, bacaan ayat suci al-Quran, tayangan video khas Maulidur Rasul dan persembahan marhaban dengan kira-kira 1,000 hadir memeriahkan sambutan kali ini. 

Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Dewan al Ansar Masjid al Muhajirin, Seberang Jaya diiringi Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Sambutan itu turut diisi dengan ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Presiden Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Datuk Ahmad Azam Ab Rahman selain persembahan nasyid. Pengasas Sekolah Agama Madrasah al-Ahmadiah al-Ijtima'iyah, Jalan Padang Lallang Bukit Mertajam Hamzah Jaafar dinobatkan  Tokoh Maulidur Rasul peringkat negeri tahun ini.

Terdahulu, sebanyak 38 kontinjen bersama 1,140 peserta daripada pelbagai agensi dan NGO menyertai perarakan sejauh 1.5 kilometer bermula dari Kompleks Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ke Dewan al-Ansar Masjid al Muhajirin.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, serta putera baginda Tunku Zain Al-'Abidin berkenan mencemar duli menyertai Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban.

Perarakan turut disertai kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan diketuai Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun bersama 67 kontijen melibatkan lebih 5,000 peserta daripada agensi kerajaan, swasta, institut pengajian tinggi awam, pelajar dan orang kurang upaya.

Kontinjen dan orang ramai berarak bermula dari padang MBS ke Hotel Royale Chulan Seremban, mengelilingi bulatan Wisma Negeri dan berakhir di Masjid Negeri membabitkan perjalanan sejauh 2.2 kilometer.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam mengetuai perarakan melibatkan 6,227 peserta sempena Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka 1447H/ 2025M di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit.

Terdahulu, Tun Mohd Ali yang tiba bersama isteri Toh Puan Asmah Abdul Rahman pada 8.27 pagi, disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Sebanyak 114 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) berarak sejauh kira-kira 4 kilometer menuju Pusat Islam Melaka di Bukit Palah melalui Jalan Bukit Piatu dan Jalan Bukit Baru.

Di JOHOR, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berkenan mengetuai perarakan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Kluang, di sini.

Turut mengiringi perarakan Raja Muda Johor Tunku Iskandar, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Asman Shah Abd Rahman serta barisan pengerusi jawatakuasa kerajaan negeri.

Lebih 5,000 umat Islam menyertai sambutan berkenaan yang bermula 8 pagi dengan perarakan sejauh satu kilometer bermula di pekarangan Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmood 1 hingga Masjid Bandar Kluang.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan