Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Muzium Feri Terapung Pulau Pinang Dibuka Secara Rasmi 16 Sept

05/09/2025 04:15 PM

GEORGE TOWN, 5 Sept (Bernama) -- Muzium Feri Pulau Pinang terapung di perairan Pengkalan Weld di sini, akan dibuka secara rasmi pada 16 Sept sempena Hari Malaysia, dengan difahamkan ia merupakan muzium feri penumpang pertama seumpamanya di dunia. 

Muzium unik itu dibangunkan hasil proses pemulihan menyeluruh terhadap sebuah feri iaitu “Pulau Pinang” yang pernah digunakan untuk menghubungkan terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di sini dan tanah besar bermula 2002, namun telah dihentikan.

Pengarah Muzium Feri Pulau Pinang Abdul Hadi Abu Osman berkata kewujudan muzium feri itu memfokus kepada penceritaan sejarah feri Pulau Pinang sejak 1893 sehingga menjadikan pengangkutan air tersebut sinonim dengan Pulau Mutiara. 

Ad Banner

“Proses pemulihan dilaksanakan sebuah syarikat swasta yang memenangi tender Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) pada 2021 dan mengambil masa lebih dua tahun sejak dimulakan awal 2022. 

“Walaupun berlaku insiden teknikal yang menyebabkan feri tenggelam selepas restorasi, kami berjaya menyelamatkannya dalam tempoh dua minggu dan meneruskan projek sehingga siap pada 2024.

“Kos pemulihan asal dianggarkan RM7 juta, namun meningkat kepada RM10 juta iaitu kos tambahan selepas insiden itu,” katanya kepada pemberita selepas lawatan khas media ke muzium itu hari ini.

Ad Banner

Kewujudan muzium itu juga sebagai usaha memperingati dan memelihara legasi perkhidmatan feri Pulau Pinang yang penting dalam sejarah landskap pengangkutan, budaya dan sosial negeri sejak berdekad lamanya.

Abdul Hadi berkata muzium itu dibuka kepada pengunjung awam melalui fasa percubaan bermula 30 Ogos, khusus kepada pemegang tiket awal yang diperkenalkan melalui siri jelajah sejak tiga bulan lepas.

Beliau berkata muzium itu menawarkan pengalaman unik menerusi pelbagai ruang pameran interaktif di dalam feri asal sepanjang 56 meter dan lebar 12 meter dengan keluasan keseluruhan 557.41 meter persegi.

“Antara keistimewaan ditawarkan ialah akses penuh ke semua empat tingkat feri. Kalau dahulu, penumpang hanya dibenarkan di geladak utama dan geladak atas feri, di muzium ini kita buka bilik enjin di tingkat bawah dan bilik kapten mengemudi feri di tingkat teratas feri,” katanya. 

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata antara artifak dipamerkan ialah komponen dan bahan asal feri termasuk ada yang sudah dilupuskan atau tenggelam, namun berjaya diselamatkan semasa proses baik pulih.

Beliau berkata kandungan dan naratif muzium disusun sesuai untuk pelbagai peringkat umur, dengan pihaknya juga menghidupkan semula sejarah penggunaan feri menerusi kaedah penceritaan.

Muzium itu dibuka dari 9 pagi hingga 10 malam setiap hari, dengan 150 pengunjung dibenarkan berada di atas feri serentak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan