KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Sambutan Hari Malaysia 2025 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang pada 16 Sept ini bakal menampilkan pelbagai pengisian yang mencerminkan identiti negara ini yang majmuk dan progresif.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata sambutan kali ini bukan sekadar menonjolkan kepelbagaian seni dan budaya, tetapi juga mengangkat mesej bahawa Malaysia ialah sebuah rumah besar yang menyantuni rakyatnya melalui nilai perpaduan, kemajuan dan keharmonian.
Beliau berkata antara segmen menarik ialah persembahan kesenian tradisi Malaysia seperti boria dan opera Cina Toechew yang terkenal di Pulau Pinang, selain tarian klasik daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India serta bumiputera Sabah dan Sarawak yang menjadi warisan budaya negara.
“Kita juga akan menampilkan muzik dan tarian baharu, termasuk lagu ciptaan baharu serta tarian kontemporari yang mencerminkan aspirasi generasi muda, di samping persembahan daripada artis popular tanah air.
“Acara kemuncak sambutan akan menyaksikan gabungan artis, kumpulan dan orkestra di satu pentas besar, sebagai simbol perpaduan kaum serta kecintaan kepada tanah air,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Nik Kamaruzaman berkata pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia tahun ini bukan sahaja bertujuan memperkukuh semangat perpaduan, tetapi juga menyokong usaha mempromosikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Pulau Pinang sememangnya terkenal dengan gastronominya seperti nasi kandar, char kuetiau dan laksa Pulau Pinang, selain warisan budaya serta bandar bersejarah seperti George Town yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia terutamanya di bahagian utara untuk hadir memeriahkan sambutan itu yang akan berlangsung dari 8.30 malam hingga 10.30 malam.
Sementara itu, bagi menyemarakkan lagi sambutan itu, Jawatankuasa Penajaan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2025 akan membuat edaran barangan cenderamata termasuk makanan, minuman dan kupon diskaun daripada lebih 114 rakan strategik kepada orang ramai di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah, Gopeng dan Sungai Perak, bermula 14 Sept ini.
Pengerusinya Kamarudin Abdul Rani berkata edaran juga akan dilakukan di lokasi tumpuan awam sekitar George Town seperti Padang Kota, Padang Brown dan Gurney Drive serta Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth.
Kamarudin yang juga Setiausaha Bahagian Kawalan dan Pematuhan Kementerian Komunikasi berkata bagi memudahkan pergerakan pengunjung yang hadir, sebanyak 10 bas Rapid Penang akan disediakan dari beberapa lokasi.
“Persiapan sudah selesai sepenuhnya malah bagi orang ramai yang hadir, kita juga ada pertunjukan bunga api sama seperti di Putrajaya yang ditaja sepenuhnya oleh rakan strategik HKHM 2025 dan dijangkakan lebih 15,000 pengunjung akan memeriahkan sambutan itu nanti,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu Program Jendela Fikir: Sambutan Hari Malaysia 2025 terbitan Bernama Radio hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial