Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ASEAN Perlu Tingkat Usaha, Tunjuk Kemahuan Lebih Kuat Untuk Laksana Perjanjian Jerebu Sepenuhnya

05/09/2025 06:21 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Negara ASEAN mesti meningkatkan usaha kolektif dan menunjukkan kemahuan politik lebih kuat untuk melaksanakan sepenuhnya Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP), kata aktivis alam sekitar Tan Sri Lee Lam Thye. 

Lee dalam kenyataan hari ini, berkata walaupun perjanjian itu wujud dan merupakan perjanjian serantau pertama seumpamanya di dunia, pelaksanaannya masih lemah dan tidak konsisten. 

Beliau berkata kesan perubahan iklim yang semakin teruk termasuk peningkatan suhu dan musim kemarau berpanjangan menjadikan pelaksanaan AATHP semakin mendesak. 

Ad Banner

“Jerebu bukan lagi hanya isu alam sekitar. Ia telah menjadi masalah kesihatan yang serius, beban ekonomi dan ancaman kepada kestabilan serantau. Jutaan orang terkesan daripada penutupan sekolah, komplikasi kesihatan dan gangguan terhadap sumber pendapatan,” katanya. 

Lee menegaskan bahawa perjanjian di atas kertas tidak mencukupi kerana apa yang diperlukan ialah tindakan tegas, penguatkuasaan dan kerjasama semua pihak. 

Lee mencadangkan langkah pencegahan lebih kukuh mesti diutamakan, termasuk undang-undang yang ketat terhadap pembakaran terbuka dan pembukaan tanah berskala besar, selain perkongsian maklumat dan pemantauan lebih telus serta tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu. 

Ad Banner

“Kerjasama serantau melalui penggemblengan sumber, kepakaran dan teknologi untuk mengesan titik panas lebih awal dan mengawal kebakaran sebelum merebak, serta pengintegrasian tindakan iklim dengan menyelaraskan pencegahan jerebu bersama juga diperlukan bagi menangani punca masalah ini,” katanya. 

Lee berkata ASEAN telah lama berpegang kepada prinsip konsensus dan kerjasama, menjadikan kini tiba masa untuk membuktikan semangat itu boleh diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar untuk penduduk rantau ini. 

“Kesihatan dan kesejahteraan jutaan rakyat tidak boleh terus dikompromi saban tahun. Krisis jerebu adalah ujian kepada kemahuan bersama kita. Kita mesti bangkit dan bertindak tegas untuk rakyat, alam sekitar dan generasi akan datang,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan