Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPT Tawar Saringan Kesihatan Kepada Pengamal Media Sempena HAWANA 2026

24/06/2026 07:15 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menawarkan pelbagai pemeriksaan dan saringan kesihatan kepada pengamal media menerusi Program SIHAT SELALU #RakanMediaKPT sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 sebagai penghargaan terhadap peranan mereka dalam menyalurkan maklumat sahih kepada masyarakat.

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan program yang digerakkan menerusi Unit Komunikasi Korporat (UKK) itu turut bertujuan memastikan kesihatan pengamal media kekal optimum di sebalik tuntutan kerjaya dan jadual kerja yang padat.

“Inisiatif ini bukan sahaja menawarkan rawatan dan saringan yang bersesuaian dengan keperluan kerjaya penyiaran, malah bertujuan memindahkan ilmu penjagaan kesihatan kepada masyarakat. Pengamal media berperanan sebagai perantara dalam meningkatkan kesedaran serta literasi kesihatan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner
Ad Banner

Bagi menjayakan program berkenaan, KPT membawa kepakaran perubatan terus ke lokasi petugas media menerusi kerjasama dengan tiga Hospital Pengajar Universiti (HPU), sekali gus mengetengahkan kepakaran klinikal dan kemudahan moden hospital terbabit.

Program yang berlangsung hari ini diadakan serentak di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima Berhad dan Astro, dengan setiap lokasi menawarkan perkhidmatan kesihatan yang berbeza.

Di RTM, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan saringan kesihatan asas, sokongan hayat asas (CPR), saringan kanser prostat dan konsultasi pengurusan berat badan.

Di Media Prima Berhad pula, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bersama ROSE Foundation menawarkan saringan penyakit tidak berjangkit dan kanser termasuk risiko penyakit jantung, diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol serta pemeriksaan ultrabunyi berfokus.

Sementara itu, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyediakan ujian peti suara, saringan kesihatan kulit, fungsi paru-paru dan kesihatan buah pinggang di Astro.

Menurut KPT, langkah itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengamal media melalui usaha pencegahan awal penyakit tetapi juga mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam menyokong kebajikan warga media.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan