KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Kumpulan AmBank dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menganjurkan Program AmBank Newscaster Challenge sebagai pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai dunia kewartawanan dan penyiaran.
Program sempena ulang tahun ke-50 institusi perbankan itu menampilkan tugasan seperti siaran langsung dan penyampaian berita melibatkan sembilan pelajar terpilih daripada empat sekolah sekitar ibu negara.
Naib Presiden Kanan Komunikasi Strategik dan Perhubungan Media Kumpulan AmBank Ridzuan Zulkifli berkata program julung kali itu dirangka bukan sekadar pertandingan, tetapi sebagai platform bagi meningkatkan keyakinan diri, pemikiran kritikal, teknik persembahan serta kemahiran bercerita dalam kalangan pelajar.
“Proses saringan peserta dalam program kerjasama ini diserahkan sepenuhnya kepada tenaga pakar agensi ini (Bernama) dengan penilaian dijalankan menggunakan kaedah uji bakat meliputi aspek kejelasan suara, kelancaran membaca skrip serta kemampuan menyusun aliran berita berdasarkan prinsip asas kewartawanan bagi memastikan pemilihan dibuat berdasarkan standard profesional industri.
“Penyertaan pelajar daripada pelbagai latar belakang juga membuktikan keyakinan diri mampu menonjolkan potensi luar biasa, meskipun berdepan cabaran peribadi.
“Saya kagum melihat kemampuan mereka yang masih berusia 16 dan 17 tahun. Pada usia sebegitu, saya sendiri tidak mampu mencapai tahap yang mereka tunjukkan hari ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Ridzuan berkata AmBank mencatat sejarah sebagai entiti korporat pertama menjalinkan kerjasama dengan Bernama dalam penganjuran program membabitkan pelajar sekolah menengah, yang menggabungkan aspek literasi kewangan dan latihan kewartawanan.
“Saya percaya ini (AmBank) adalah syarikat korporat pertama yang melakukan inisiatif seperti ini dengan menggabungkan terma perbankan dan media bagi membuka ruang baharu kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah.
“Melihat kepada kejayaan hari ini, kami akan mempertimbangkan untuk meneruskan kerjasama dengan Bernama yang sudah terjalin sejak awal tahun ini. Malah, mungkin kami perluas lagi penyertaan ke sekolah-sekolah di luar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata AmBank terus memperkukuh komitmennya melalui penyertaan aktif dalam inisiatif Jangkauan Kolektif Industri Kewangan (FINCO) yang juga sebuah gabungan bank dan institusi kewangan di Malaysia diterajui Bank Negara Malaysia (BNM) bagi melaksanakan program literasi kewangan di sekolah-sekolah angkat.
“Sepanjang 50 tahun kami (AmBank) ditubuhkan, kami memang mempunyai rangka tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang luas khususnya dalam pendidikan dan kali ini kami bawakan satu kelainan dengan melatih pelajar peringkat sekolah menengah meningkatkan keyakinan mereka dalam bidang komunikasi.
“Pihak kami sejak beberapa tahun lepas telah menggerakkan sukarelawan untuk turun ke sekolah bagi melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk latihan kewangan, penceritaan dan pembinaan keyakinan diri,” katanya.
Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Bukit di Kajang, Fatinah Safiyyah Mohamad Rusydi, 16, yang muncul juara pertandingan itu mengakui berasa gementar sebelum pertandingan, namun sokongan keluarga, guru dan rakan-rakan menjadi pendorong kepadanya sehingga berjaya menampilkan persembahan terbaik.
“Saya memang petah berkata-kata, jadi saya menggunakan kelebihan saya dengan bercakap di hadapan dinding sebagai latihan sebelum program ini bermula.
“Saya memang tidak menyangka akan kemenangan ini dan berterima kasih kepada pihak Ambank, Bernama serta tenaga pengajar yang berpengalaman dalam bidang penyiaran dan kewartawanan atas tunjuk ajar yang diberikan,” katanya.
Bertempat di Wisma Bernama, empat sekolah yang terlibat dalam program berkenaan adalah SMK Jalan Bukit, Kajang, SMK Cochrane, SMK (P) Bandaraya dan SMK (L) Methodist.
Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Azlina Aziz.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial