Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pelajar IKM Besut Bangunkan Produk Baru AI Bantu Usahawan

07/09/2025 06:20 PM

JERTIH, 7 Sept (Bernama) -- Institut Kemahiran Mara (IKM) Besut membangunkan tiga produk berasaskan kecerdasan buatan (AI), yang dapat membantu usahawan seluruh negara dalam menyediakan perkhidmatan secara digital dan memperkukuh pemasaran produk dengan kos yang lebih jimat.

Pengarah IKM Besut Ir Abdul Athar Ibrahim berkata produk itu, dibangunkan sendiri oleh pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Komputer institut tersebut, bermula awal tahun ini dan kini boleh digunakan sepenuhnya.

 “Antara inovasi itu ialah projek Cloud-Hosted Instant Web Deployment System iaitu sistem pintar direka khusus untuk usahawan yang mahu memasarkan produk atau perkhidmatan mereka dengan pantas, tanpa perlu bergantung kepada pembangun laman web, iaitu hanya dengan memuat naik bahan promosi atau katalog digital.

Ad Banner

“Kemudian sistem ini akan terus menghasilkan laman web dengan subdomain unik yang boleh dikongsi kepada pelanggan, rakan kongsi atau pelabur sekali gus menjimatkan masa dan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis perasmian Program Bizlink Netpreneurs@IKM Besut yang disempurnakan Pengarah Mara Terengganu Mohd Farris Radzuan di IKM Besut dekat Alor Lintang di sini, hari ini.

Abdul Athar berkata produk kedua pula ialah sistem WhatsApp AI Bot yang dibangunkan untuk memudahkan komunikasi dua hala antara usahawan dan pelanggan, tanpa perlu bergantung kepada pekerja sepenuh masa.

Ad Banner

Beliau berkata menerusi sistem ini, bot berkenaan mampu menjawab mesej 24 jam sehari secara automatik dengan penjimatan kos operasi sehingga 70 peratus, berbanding menggaji seorang pekerja. 

“Dengan sistem ini, usahawan seolah-olah mempunyai pembantu peribadi yang sentiasa bersedia menjawab pertanyaan pelanggan tanpa henti, konsisten dan cepat,” katanya.

Abdul Athar berkata produk ketiga pula ialah Sistem Pengurusan Perkhidmatan dan Aduan, yang membolehkan pelanggan menghantar aduan dan memantau status pembaikan manakala usahawan dapat mengurus kakitangan, bil, tugasan dan laporan.

Beliau berkata produk yang kini telah diguna pakai oleh beberapa industri khususnya bengkel automotif, syarikat elektrik dan komputer, terbukti mampu menjimatkan masa, kos operasi, selain meningkatkan produktiviti.

Pada masa sama Abdul Athar berkata produk itu dapat memperkukuh reputasi usahawan dengan memberikan kepuasan pelanggan secara berterusan.

Terdahulu Program Bizlink Netpreneurs@IKM Besut yang dilaksanakan hari ini, dijayakan bersama 14 usahawan berkaitan dagangan digital Mara Terengganu bersama 165 pelajar IKM Besut pelbagai jurusan, bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pemasaran digital.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan