CYBERJAYA, 8 Sept (Bernama) -- Kementerian Digital telah memulakan perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mewujudkan rangka kerja perundangan khusus untuk kenderaan autonomi atau kenderaan tanpa pemandu di Malaysia, kata Menterinya Gobind Singh Deo.
Beliau berkata peralihan ke arah penggunaan kenderaan autonomi memerlukan persediaan awal dari pelbagai aspek termasuk piawaian keselamatan, infrastruktur digital dan perlindungan data.
“Kita memang sudah ada perbincangan dengan JPJ, berkaitan apa yang kita sebutkan rangkaian kenderaan autonomi (autonomous vehicle network), kita lihat di negara lain ada kenderaan yang bergerak tanpa ada pemandu.
“Dalam keadaan tersebut, kita kena lihat bagaimana kita boleh bangunkan satu sistem perundangan bagi memastikan ekosistemnya bersesuaian dari aspek keselamatan dan data,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Makmal Forensik Kenderaan pertama di Malaysia, di sini hari ini.
Gobind berkata teknologi kenderaan tanpa pemandu adalah satu realiti yang semakin hampir dan Malaysia perlu mengambil langkah awal bagi memastikan negara bersedia dari segi undang-undang dan infrastruktur sokongan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada September tahun lepas dilaporkan berkata kementeriannya sedang mempertimbangkan rangka kerja bagi meminda undang-undang baharu untuk mengawal selia pengoperasian kenderaan autonomi di jalan raya.
Menurut Loke, pada masa ini tiada undang-undang khusus bagi mengawal kenderaan autonomi termasuk Transit Aliran Autonomi (ART).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial