KAMPAR, 30 Mei (Bernama) -- Mana-mana pihak yang menyebarkan video atau maklumat tidak sahih hingga mencemarkan imej kementerian atau jabatan kerajaan boleh dikenakan tindakan mengikut saluran perundangan sedia ada.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Mohd Shaiful Ibrahim berkata tindakan sedemikian perlu diambil bagi mempertahankan kredibiliti jabatan kerajaan, selain mampu menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi perkhidmatan awam.
“Sekiranya berita yang disebarkan itu tidak benar dan menjatuhkan imej jabatan, kita perlu mempertahankannya. Laporan polis boleh dibuat untuk mengesan individu yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu tersebut.
“Jika terdapat kes untuk diteruskan, ia akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ibadah Korban Kampung Angkat MADANI Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA): Kampung Kota Bharu di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata perkara berkenaan tidak dilakukan secara semberono, sebaliknya sesuatu kes itu akan diteliti dan diperhalusi sebelum tindakan lanjut dibuat.
“Setiap kes akan melalui proses siasatan secara terperinci. Sekiranya hasil siasatan mendapati tiada kesalahan, bermakna mereka yang terlibat dibebaskan dan jika sebaliknya, tindakan lanjut akan diambil mengikut prosedur pihak jabatan,” katanya.
Menyentuh mengenai program hari ini, Mohd Shaiful berkata lima ekor lembu telah disumbangkan JPA bagi menyempurnakan ibadah berkenaan melibatkan kerjasama kira-kira 100 individu terdiri daripada petugas JPA, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kampar serta penduduk setempat.
Beliau berkata daging korban berkenaan turut diagihkan kepada lebih 300 penerima dalam kalangan masyarakat setempat.
“Kita bermula sekitar 7 pagi daripada penyembelihan, melapah, memasak hingga pengagihan daging korban yang dilaksanakan secara gotong-royong melibatkan petugas JPA, PDT Kampar dan penduduk kampung,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial