Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Segamat, Batu Pahat Perlu Dimasukkan Dalam Peta Zon Bencana - Ahmad Maslan

08/09/2025 03:44 PM

SEGAMAT, 8 Sept (Bernama) -- Kerajaan pusat mengesyorkan agar daerah Segamat dan Batu Pahat dimasukkan ke dalam Peta Zon Bencana Seismik Malaysia bagi memastikan aspek keselamatan dan reka bentuk bangunan di kawasan berkenaan mengambil kira faktor seismik pada masa depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata pengemaskinian peta zon bencana berkenaan akan membolehkan semua projek pembangunan di kawasan itu direka bentuk menggunakan konkrit berkualiti tinggi dan perincian besi mengikut standard MS EN 1998 National Annex untuk mampu menahan gegaran.

“Keperluan faktor seismik dalam analisis ini dikira berdasarkan keberadaan tapak mengikut Peak Ground Accelaration (PGA) Hazard Map dalam National Annex.

Ad Banner

“Berdasarkan hazard map sedia ada, Segamat tidak termasuk dalam kawasan bencana. Oleh itu, reka bentuk bangunan di sini tidak diwajibkan mengikut standard seismik lebih tinggi. Namun, insiden gegaran ini menunjukkan keperluan untuk mengemas kini hazard map dengan memasukkan Segamat dan Batu Pahat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat  gempa bumi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat dan melawat kesan bencana di beberapa bangunan kerajaan di sini hari ini.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menghasilkan Peta Zon Bencana Seismik Malaysia sebagai rujukan bagi tujuan pengurusan geobencana yang memberikan gambaran tahap gegaran seismik  berpotensi dialami di Malaysia, berdasarkan zon dengan skala berbeza.

Ad Banner

Maklumat ini penting dalam usaha menyokong perancangan pembangunan infrastruktur, meningkatkan kesedaran awam mengenai risiko bencana, serta memperkukuh kesiapsiagaan agensi berkaitan dalam menghadapi kemungkinan insiden gegaran bumi.

Ahmad turut mencadangkan agar seismometer dipasang di kawasan berisiko untuk memberi amaran awal sekiranya gegaran berlaku pada skala tertentu.

“Ini penting supaya rakyat lebih bersedia. Kita mahu setiap bangunan kerajaan dan infrastruktur awam yang dibina kelak benar-benar tahan dan selamat digunakan,” katanya.

Setakat ini terdapat 80 stesen seismik di seluruh negara termasuk enam di Johor iaitu dua di Johor Bahru, manakala masing-masing satu di Kluang, Batu Pahat, Mersing dan Kota Tinggi.

Terdahulu beliau berkata 15 bangunan kerajaan dikenal pasti mengalami kerosakan kecil dengan kos pembaikan dianggarkan RM550,000, selain 62 rumah persendirian dan dua surau turut terjejas.

Johor dilaporkan mengalami sekurang-kurangnya lapan gegaran bagi tempoh 24 Ogos hingga 3 Sept lepas, termasuk enam kali di Segamat dan dua di Batu Pahat. 

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan