DUNIA > BERITA

Rakyat Malaysia Di Nepal Dinasihatkan Berwaspada

09/09/2025 08:56 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang menetap atau melancong ke Nepal dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada susulan protes besar-besaran yang tercetus pada Isnin.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Selasa turut menggesa rakyat Malaysia supaya mematuhi panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi.

Kementerian itu mengesahkan setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terjejas atau terlibat dalam protes berkenaan.

Keganasan meningkat di Kathmandu susulan protes besar-besaran membantah larangan media sosial oleh kerajaan, yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 19 orang terkorban.

“Kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan di Nepal dan sedang memantau keadaan secara aktif,” menurut Kementerian Luar.

Mereka yang belum mendaftarkan kehadiran di negara itu digalakkan berbuat demikian melalui E-Konsular (https://ekonsular.kln.gov.my) bagi memastikan bantuan dan komunikasi dapat diberikan dengan segera, tambah Wisma Putra.

Bagi bantuan konsular, orang ramai boleh mengunjungi Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu di alamat Bakhundole-3, Lalitpur, Nepal atau melalui telefon +977-1-5445680 atau e-mel mwkathmandu@kln.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan