Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

RUU Pekerja Gig: Kontrak Lisan Sah, Lindungi Pekerja Industri Hiburan - Sim

08/09/2025 08:59 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Ogos lepas akan memberikan perlindungan kepada lebih 1.2 juta pekerja gig di Malaysia, termasuk penggiat industri hiburan dan artis walaupun mereka hanya mempunyai perjanjian secara lisan.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata lazimnya, kontrak dalam industri hiburan dibuat secara lisan dan apabila berlaku pertikaian mereka tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.

“Sudah tentu amalan terbaik ialah kita harus ada kontrak bertulis, tetapi di bawah definisi RUU ini, perjanjian perkhidmatan ertinya apa-apa perjanjian sama ada secara lisan atau bertulis, sama ada nyata atau tersirat.

Ad Banner

“Jadi, hal ini dapat menangani antara isu yang sering dihadapi oleh penggiat dalam sektor seni. Apabila ada pertikaian, maka kontrak secara lisan, kontrak secara tersirat adalah sah kalau dibawa ke proses kilanan ataupun grievance process, contohnya di tribunal,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Khas RUU Pekerja Gig 2025 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Pengerusi Finas Datuk Hans Isaac, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) Khalil Saleh.

Sim berkata RUU berkenaan turut menetapkan bahawa pemberian slip gaji kepada pekerja sambilan atau bebas (freelancers) diwajibkan sekiranya diminta pekerja berkenaan, sekali gus mengiktiraf hak mereka secara rasmi.

Ad Banner

Beliau berkata kontrak secara lisan serta penetapan kadar minimum dan slip gaji antara dua isu utama yang dibangkitkan oleh penggiat dan pekerja sektor gig, selain ketiadaan definisi khas melibatkan pekerja gig.

Menurut Sim, di bawah Seksyen 13.1 RUU berkenaan, pekerja gig boleh meminta slip pendapatan daripada entiti yang mengupah mereka dan pemberian slip itu adalah wajib mengikut Seksyen 13.2, dengan kegagalan mematuhi peruntukan terbabit ialah satu kesalahan di bawah Seksyen 13.3 yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda maksimum RM50,000.

"Bagi penetapan kadar bayaran (upah), perkara itu akan ditangani melalui Majlis Rundingan Tripartite yang kita nak tubuhkan, termasuk juga daripada standard minimum kontrak. Boleh dibincangkan antara entiti kontrak, dalam kes ini mungkin penerbit dengan penggiat seni itu sendiri,” katanya. 

Dalam kes syarikat yang mengalami kemuflisan seperti penerbit filem atau pelabur, Sim berkata RUU berkenaan menetapkan pembayaran gaji bagi pekerja gig perlu diutamakan sebelum sebarang bayaran kepada pemiutang lain dibuat.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan Malaysia tidak boleh melaksanakan perlindungan itu secara berfasa seperti di Singapura yang hanya memfokuskan kepada pekerja e-hailing dan p-hailing pada peringkat awal.

Sim menjelaskan bahawa pekerja gig bukan hanya melibatkan sektor baharu seperti e-hailing dan p-hailing, sebaliknya turut merangkumi sektor perfileman dan seni yang berhak mendapat pembelaan setara dengan pekerja gig lain.

RUU Pekerja Gig 2025 dijadualkan dibentangkan di Dewan Negara esok, sebelum diwarta dan dikuatkuasakan bagi memastikan kebajikan serta perlindungan pekerja gig di Malaysia termasuk caruman wajib Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan