KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Dewan Negara hari ini meluluskan lima Rang Undang-Undang (RUU) termasuk tiga di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Tiga RUU berkenaan ialah RUU Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025, RUU Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 serta RUU Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025.
Dua lagi RUU yang turut diluluskan ialah RUU Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta RUU Perolehan Kerajaan 2025 di bawah Kementerian Kewangan.
Terdahulu, RUU Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 diluluskan selepas dibahaskan lapan Ahli Dewan Negara dengan lebih suara bersetuju.
Timbalan Menteri KPKT Datuk Aiman Athirah Sabu berkata pindaan itu antaranya mewujudkan Subseksyen 77B(1) yang memberi kuasa kepada mahkamah mengenakan perintah khidmat masyarakat sebagai tambahan kepada hukuman denda bagi kesalahan membuang sampah di tempat awam.
“Pindaan ini bagi menangani kesalahan pembuangan sampah kecil seperti puntung rokok, tisu, plastik, tin minuman dan pembungkus makanan yang sering berlaku di tempat awam.
“Rekod kutipan sampah jelas menunjukkan pengenaan denda sahaja tidak lagi berkesan sebagai pencegahan,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua.
Aiman Athirah menegaskan pesalah diwajibkan menjalani khidmat masyarakat tidak lebih 12 jam dengan memakai jaket khas bagi memupuk kesedaran sivik dalam menjaga kebersihan persekitaran.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pindaan terhadap Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) adalah sebahagian langkah kesiapsiagaan Malaysia ke arah penggunaan tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik masa depan.
“Opsyen penggunaan tenaga nuklear telah mula dibincangkan secara meluas dan sehubungan itu, perundangan sedia ada perlu diperkukuh sebagai persediaan membangunkan program kuasa nuklear,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025.
RUU yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Ogos lalu turut memperuntukkan kesalahan baharu dengan hukuman berat termasuk hukuman mati secara budi bicara bagi perbuatan melibatkan bahan radioaktif atau nuklear dengan niat mengakibatkan kematian, kecederaan serius atau kerosakan besar terhadap alam sekitar.
Chang berkata hukuman mati secara budi bicara itu selaras dengan prinsip kesepadanan (proportionality) dan pengecualian (exceptionality) serta hanya terpakai kepada kesalahan nuklear yang serius.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial