IPOH, 10 Sept (Bernama) -- Negeri Perak berjaya menoktahi kemiskinan tegar sebanyak 9,686 Ketua Isi Rumah (KIR) bagi tempoh 2024 hingga 3 Sept lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Datuk Salbiah Mohamed berkata jumlah itu melibatkan 8,986 KIR pada 2024 dan 700 KIR hingga 3 Sept tahun ini.
"... dan ini menjadikan angka kosong (0) Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar di negeri Perak. Ia hasil pelbagai langkah-langkah dan pendekatan," katanya pada sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Salbiah menjawab soalan Dr Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning) yang bertanyakan tentang usaha atau pembaharuan yang akan dan sedang dilaksanakan untuk membasmi kemiskinan di Perak.
Mengulas lanjut, Salbiah berkata hingga 3 Sept tahun ini, Perak berjaya mengeluarkan sebanyak 5,719 KIR daripada status miskin, menjadikan angka terkini sebanyak 2,064 KIR, iaitu penurunan 73.6 peratus.
Antara langkah diambil bagi menoktahi kemiskinan adalah penekanan kepada program peningkatan pendapatan melalui bantuan peralatan perniagaan dan program pemadanan pekerjaan yang dapat membantu peserta meningkatkan ekonomi kendiri serta keluarga.
"Pogram seumpamanya banyak disediakan oleh agensi-agensi seperti Bantuan Peralatan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Geran Gerak melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).
"Bantuan Peralatan Biznita melalui Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (SPW), padanan pekerjaan melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan sebagainya untuk memastikan pendapatan golongan ini dapat dipertingkatkan," katanya.
Selain itu, bantuan bulanan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak masih diteruskan kepada kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial