Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Dasar Pintu Terbuka Malaysia Sumbang RM84.2 Bilion Kepada Ekonomi – Nga

13/09/2025 11:53 AM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Dasar pintu terbuka Malaysia telah memacu ekonomi dengan penduduk asing menyumbang lebih RM84.2 bilion setiap tahun termasuk daripada pembeli hartanah antarabangsa, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata keterbukaan Malaysia menjadi kelebihan daya saing berbanding sebahagian negara lain justeru mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi global pilihan untuk pelancongan, pelaburan, pembangunan hartanah dan pendidikan tinggi.

Menurut Nga sektor pelancongan dan antarabangsa Malaysia mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan tahun lepas, mencerminkan kejayaan Kerajaan MADANI dalam memacu pembangunan ekonomi yang mampan dan meningkatkan daya saing global.

Ad Banner

"Dua kejayaan dalam pelancongan dan pelaburan asing ini menunjukkan bahawa Malaysia berada pada landasan yang betul di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI. Kita bukan sahaja menggiatkan semula sektor pelancongan tetapi juga meletakkan negara sebagai hab global untuk pendidikan, pelaburan dan kehidupan lestari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai peranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam menyokong pelbagai agenda kerajaan MADANI, Nga berkata kementeriannya akan terus mempromosikan bandar yang boleh didiami, rumah mampu milik, ruang awam hijau dan infrastruktur berdaya tahan iklim untuk menyokong masyarakat domestik dan antarabangsa.

“Dengan pelancongan yang berkembang maju dan penduduk global semakin tertarik kepada Malaysia, pembaharuan dan visi Kerajaan MADANI yang berani memberikan hasil sebenar iaitu mengukuhkan ekonomi, meningkatkan komuniti dan menaikkan kedudukan global negara yang menyaksikan ranking Malaysia naik 11 tangga ke kedudukan ke-23 dalam indeks daya saing dunia tahun ini,” katanya.

Ad Banner

Beliau berkata menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), industri pelancongan menjana RM291.9 bilion pada 2024, menyumbang 15.1 peratus kepada ekonomi negara iaitu antara prestasi terbaik dalam sejarah negara.

“Ini menandakan pemulihan yang kuat daripada tahun-tahun pandemik, dengan aktiviti beli-belah, hotel, makanan dan minuman serta perkhidmatan gaya hidup lain secara kolektif menyumbang lebih 82 peratus prestasi sektor.

"Pelancongan sahaja melonjak sebanyak 41.1 peratus kepada RM107 bilion, menekankan tarikan Malaysia sebagai destinasi kegemaran pilihan pengembara antarabangsa manakala pelancongan domestik juga telah berkembang sebanyak 25.1 peratus kepada RM98.4 bilion, mencerminkan keyakinan pengguna yang kukuh dan kejayaan inisiatif nasional untuk mempromosikan tarikan tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan