Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PBT Jamin Tandas Awam Di Taman Rekreasi Selamat Digunakan

13/09/2025 01:01 PM

MELAKA, 13 Sept (Bernama) -- Pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi jaminan tandas awam di taman rekreasi seluruh Melaka selamat untuk digunakan serta tiada laporan insiden tidak sepatutnya diterima setakat ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata pemeriksaan di Stadium Tun Fatimah di Bukit Serindit di sini sudah dilakukan bersama pasukan teknikal MBMB susulan video tular yang menimbulkan kebimbangan masyarakat mengenai kemungkinan berlaku perbuatan tidak bermoral di kawasan itu.

“Setakat ini, tiada kes dilaporkan dan kita beri jaminan ia selamat digunakan. Tandas itu dibina lebih 10 tahun lepas dengan direka bentuk bagi memenuhi keperluan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi malah terdapat terdapat peruntukan tahunan untuk kerja-kerja penambahbaikan secara berfasa. 

Ad Banner

"Pihak kami juga sedang meneliti cadangan menaik taraf termasuk pencahayaan waktu malam, sistem perparitan serta kelengkapan tandas bagi memastikan keselesaan dan keselamatan para pengunjung yang menggunakan kemudahan di kawasan rekreasi berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Noor Helmy berkata pihaknya mengambil maklum kebimbangan netizen, namun memberi jaminan akan memastikan tiada perkara tidak bermoral berlaku di taman rekreasi berkenaan. 

Ad Banner

“Ini kerana kawasan tandas berkenaan terbuka, mudah dilihat daripada pelbagai sudut dan sentiasa dipenuhi pengunjung terutama pada waktu pagi dan petang meskipun reka bentuk pengaliran udara didakwa agak terbuka. 

"Namun, kita tidak menolak sebarang kemungkinan dan akan terus menambah baik aspek keselamatan serta kemudahan untuk keselesaan dan keselamatan orang ramai terutama melibatkan pengunjung wanita,” katanya.

Semalam tular video berdurasi 27 saat di laman Tik Tok yang mencetuskan kebimbangan awam apabila reka bentuk tandas awam di Stadium Tun Fatimah dikatakan mampu menjadi lokasi ativiti tidak bermoral,  termasuk mengendap terutama selepas beberapa kerusi kelihatan berada di belakang bangunan berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan