Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Fahmi Mulakan Lawatan Kerja Tiga Hari Ke Pulau Pinang Sempena Sambutan Hari Malaysia

14/09/2025 10:42 AM

GEORGE TOWN, 14 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini memulakan lawatan kerja selama tiga hari ke Pulau Pinang, bersempena sambutan Hari Malaysia 2025 yang bakal berlangsung pada 16 Sept ini di Pusat Konvensyen PICCA@Arena, Butterworth.

Lawatan beliau dimulakan dengan menghadiri program Hari Bersama Komuniti dan merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Penanti di Bukit Mertajam, pagi ini.

Beliau kemudian meneruskan program dengan melakukan Ziarah Kasih Komuniti MADANI dan meninjau pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di sebuah pasar raya di Kubang Semang sebelum ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Butterworth bagi meninjau Projek Rumah Kerajaan Angkatan Tentera (RKAT).

Ad Banner

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025), Fahmi akan mengakhiri hari pertamanya dengan menonton raptai penuh sambutan Hari Malaysia di PICCA pada 8 malam.

Jadual padat turut menanti Fahmi pada hari kedua antaranya tinjauan ke menara telekomunikasi rangkaian 5G di kawasan Jambatan Pulau Pinang, menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA di Air Itam, tinjauan fasiliti jalur lebar tanpa wayar (WiFi) institut pengajian tinggi di Politeknik Seberang Perai, Permatang Pauh dan menghadiri tayangan wayang pacak di Kepala Batas.

Pada 16 Sept pula, beliau akan terlibat dalam beberapa temu bual siaran langsung yang akan dikendalikan oleh Mutiara FM, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Ad Banner

Temu bual siaran langsung dengan Bernama itu akan berlangsung dari kenderaan rekreasi atau motorhome milik agensi berita berkenaan yang dilengkapi dengan studio mini di kawasan PICCA.

Selain itu, Fahmi turut dijadualkan menghadiri Program Jiwa Merdeka: Aspirasi Belia MADANI 2025 di Paddy Pavillion, Permatang Pauh dan seterusnya acara kemuncak lawatan iaitu sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni" di PICCA yang mengandungi pelbagai pengisian menarik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan sambutan berkenaan pada 8.30 malam, yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sambutan Hari Malaysia tahun ini berlangsung di Pulau Pinang, selaras dengan amalan penggiliran lokasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan