Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bomba Nasihat Orang Ramai Elak Hampiri Sungai Selepas Buaya Dikesan Di Paya Luboh

15/09/2025 08:54 PM

MELAKA, 15 Sept (Bernama) -- Orang awam dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan sungai di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu di sini selepas seekor buaya sepanjang kira-kira sembilan kaki (2.7 meter) dikesan tengah hari tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu Pegawai Bomba Kanan II (PBKII)  Zuraidi Omar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.47 pagi daripada seorang penduduk yang melihat kehadiran reptilia itu di tebing sungai berkenaan.

“Sebanyak lapan anggota bersama dua jentera yang digerakkan tiba ke lokasi kejadian kira-kira 11.50 pagi  dan pasukan kami mendapati buaya berkenaan berada di tebing sungai berhampiran jalan kampung.

Ad Banner

“Buat masa ini tiada ancaman terus kepada penduduk, namun kami menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan itu demi keselamatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zuraidi berkata keadaan tebing sungai yang tinggi menyukarkan akses untuk menangkap haiwan itu dan pemantauan hanya dijalankan sehingga situasi disahkan terkawal.

Beliau berkata pihaknya telah merujuk kes itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka untuk tindakan lanjut kerana ia melibatkan hidupan liar.

Ad Banner

Menurut Zuraidi, operasi berkenaan tamat pada 12.40 tengah hari dengan pasukan kembali ke balai selepas memastikan kawasan berada dalam keadaan selamat.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan