Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) menyasarkan untuk mempelbagaikan sumber hasil serta mengurangkan kesesakan trafik dalam jangka pendek bagi mencapai pertumbuhan perniagaan lebih kukuh dan mempercepatkan bayaran balik sukuk bernilai RM5.5 bilion.
Sukuk berkenaan, sebahagian daripada struktur pembiayaan ALR, diterbitkan untuk membiayai pengambilalihan dan operasi mampan empat lebuh raya utama di Lembah Klang iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya SPRINT dan Terowong SMART.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALR Muhammad Nizam Alias berkata syarikat sedang meneroka kerjasama serta memanfaatkan aset bagi menjana pulangan, sekali gus tidak hanya bergantung pada kutipan tol sebagai penyumbang utama hasil.
“Kami juga melihat peluang untuk memanfaatkan aset. Terdapat lot tanah dalam kawasan lebuh raya dan rizab jalan yang mempunyai potensi untuk dikomersialkan.
“Pada masa ini, lebuh raya kami telah menempatkan stesen minyak dan premis makanan, tetapi kami mahu ia dimajukan lebih daripada itu, mungkin membangunkan pusat gaya hidup di sepanjang laluan ini. Untuk merealisasikannya, kami sedang berbincang dengan rakan kongsi pihak ketiga yang berpotensi,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata dengan tempoh konsesi ALR yang hampir tamat, syarikat perlu memastikan pulangan pelaburan yang mencukupi daripada kerjasama tersebut memandangkan ia memerlukan tempoh matang yang munasabah untuk mendapatkan semula pelaburan.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) untuk meneliti penyelesaian berkaitan tempoh pegangan tanah,” katanya.
Muhammad Nizam berkata syarikat komited untuk mengurangkan kesesakan trafik sepenuhnya, sekali gus memendekkan masa perjalanan serta barisan kenderaan di lebuh raya utama syarikat.
“Kesesakan sebenarnya musuh kami. Disebabkan kesesakan, lebuh raya tidak beroperasi secara optimum. Kami memberi tumpuan lebih kepada pengurangan titik-titik kesesakan kerana ini boleh menarik trafik baharu ke dalam rangkaian dan meningkatkan hasil,” katanya.
Bagi tujuan itu, syarikat telah mengenal pasti 16 lokasi kesesakan di sepanjang lebuh raya, terutamanya di KESAS, LDP dan SPRINT.
“Antara titik utama ialah Persiaran Kewajipan di Subang Jaya, Plaza Tol Petaling Jaya Selatan serta dua hingga tiga lokasi di Lebuhraya SPRINT. Selepas dikenal pasti, kami akan menetapkan garis dasar kelajuan dan kemudian mengukur semula bagi menilai pencapaian sasaran.
“Secara tidak langsung, ini akan meletakkan lebuh raya kami sebagai laluan pilihan di aplikasi navigasi seperti Waze dan Google Maps, sekali gus meningkatkan pengalaman pengguna serta menarik lebih banyak kenderaan ke rangkaian kami,” kata beliau.
ALR turut bekerjasama rapat dengan kerajaan dan agensi berkaitan bagi menyokong pembangunan negara, meringankan beban fiskal kerajaan serta memastikan operasi lebuh raya terus mampan.
“Kami bukan untuk mengaut keuntungan sendiri semata-mata. Dengan mengetepikan hak terhadap pampasan tol, kami sebenarnya mengembalikan lebih RM400 juta setahun kepada negara.
“Dana ini boleh disalurkan kepada keutamaan lain seperti penyelenggaraan jalan persekutuan, pembinaan sekolah dan hospital. Ini membezakan kami daripada konsesi berorientasikan keuntungan, dan kami berharap perbezaan ini diiktiraf dalam dasar serta proses membuat keputusan kerajaan,” kata Muhammad Nizam.
Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan aliran tunai sihat bagi memenuhi obligasi hutang sambil mengimbangi pertumbuhan hasil dan pengurusan kos.
“Kami berbangga dapat membantu kerajaan bergerak lebih dekat ke arah era tol nominal (minimum), dan kerjasama kukuh dengan pihak berkuasa akan memastikan manfaat jangka panjang kepada orang ramai serta negara,” katanya.
Pada April 2025, ALR menyelesaikan pembayaran keuntungan sukuk kelima di bawah Program Sukuk Murabahah Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) AAA bernilai nominal RM5.5 bilion.
Bayaran terbaharu berjumlah RM130.96 juta itu menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran ALR kepada RM1.021 bilion.
Setakat ini, ALR telah menjelaskan RM686.31 juta bagi keuntungan sukuk dan RM335 juta bagi prinsipal sukuk. Jumlah gabungan RM1.021 bilion itu mewakili 13 peratus daripada keseluruhan obligasi keuntungan dan prinsipal sukuk bernilai RM7.94 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial