Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Hari Malaysia: Komuniti MADANI Tumpat Berkonvoi Semai Semangat Patriotisme

16/09/2025 12:30 PM

TUMPAT, 16 Sept (Bernama) -- Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia sebanyak 120 motosikal daripada Komuniti MADANI Tumpat berkonvoi sejauh 71 kilometer sambil mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat cinta akan tanah air.

Penaung Pusat MADANI Tumpat Dr Muhamad Razak Idris berkata inisiatif itu bertujuan mengajak masyarakat menjiwai semangat patriotisme, selain merapatkan hubungan antara komuniti setempat.

“Setiap hentian konvoi kami singgah, kami beramah mesra dengan penduduk, menyampaikan mesej kemerdekaan dan mengagihkan Jalur Gemilang kepada mereka.

Ad Banner

“Program seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama pada Program Konvoi Motor Sempena Hari Malaysia di Taman Warisan Kampung Laut di sini hari ini.

Beliau berkata program berkenaan melibatkan 12 Komuniti MADANI di Tumpat termasuk Kampung Laut, Kampung Baru Nelayan dan Kampung Geting, dengan kerjasama Jabatan Penerangan Kelantan.

Sementara itu, Pengerusi Komuniti MADANI Tumpat Ahmad Shafik Ab Rahman berkata konvoi berkenaan ialah program ketiga dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan bagi menyuburkan jiwa patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Ad Banner

“Alhamdulillah, sambutan sangat baik. Setiap program yang dianjurkan sentiasa mendapat banyak penyertaan daripada komuniti di Tumpat,” katanya.

Ketua Komuniti MADANI Geting Mazalina Ibrahim pula berkata Tumpat mempunyai banyak lokasi bersejarah yang menarik untuk dikunjungi, namun sebahagiannya wajar diberi perhatian oleh pihak berkuasa supaya dapat dibangunkan dan dimajukan pada masa hadapan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan