KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Hari Malaysia bukan sekadar memperingati detik bersejarah penyatuan wilayah berbeza latar dan budaya sebaliknya menjadi lambang tekad bangsa yang berpadu dalam kepelbagaian.
Beliau berkata sambutan pada setiap 16 Sept memperingatkan rakyat akan keberanian generasi terdahulu yang menolak penjajahan, menegakkan maruah serta membina sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.
“Negara ini ditegakkan dengan darah, keringat dan air mata generasi terdahulu yang membakar obor kebebasan. Walhasil, amanah yang dipikul kita hari ini adalah dalam memastikan obor itu terus menyemarak sebagai panduan kita menempuh tantangan di era baharu,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata kekuatan Malaysia berakar daripada rakyat yang menjunjung nilai kemanusiaan, keadilan dan solidariti selain didukung institusi kenegaraan serta pentadbiran yang berwibawa.
Beliau berkata kerencaman budaya dan kepelbagaian masyarakat perlu terus diraikan sebagai rahmat yang memperkukuh persaudaraan.
“Mari bersama kita menzahirkan Hari Malaysia dengan memperkukuh iltizam dan cita murni, dan komited pada sebuah kerangka yang menjunjung maruah insan, menolak kebejatan, menjauhi perpecahan dan menjadikan negara ini contoh kepemimpinan yang berwibawa di rantau ini, dan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Anwar turut menegaskan Malaysia mesti terus dipertunjukkan sebagai sebuah negara yang adil, makmur dan MADANI, yang diwariskan kepada generasi akan datang sebagai negara bangsa yang teguh serta bermaruah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial