Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tanaman Kelapa Sawit, Kelapa Seluruh Negara Berisiko Ancaman Spesies Asing Invasif

18/09/2025 04:08 PM

BATU PAHAT, 18 Sept (Bernama) -- Sebanyak 5.56 juta hektar tanaman kelapa sawit dan 79,491 hektar kelapa di seluruh negara kini berdepan ancaman serius spesies asing invasif (IAS) yang berpotensi menjejaskan hasil pertanian dan pendapatan negara sekiranya langkah pencegahan tidak diambil segera.

Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pengurusan dan Regulatori) Mat Iesak Ngathinee berkata sebanyak 59 spesies IAS dikesan sejak 2011, namun dua daripadanya dikenal pasti sebagai ancaman paling serius terhadap tanaman palma iaitu kumbang badak guam (Oryctes rhinoceros biotip guam) dan kumbang merah palma (Rhynchophorus ferrugineus).

Beliau berkata tindakan pengurusan secara bersepadu perlu digalas secara bersama oleh semua pihak dan hanya melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan, sektor swasta, institusi penyelidikan serta komuniti setempat akan dapat memastikan kelestarian industri kelapa dan kelapa sawit.

Ad Banner

“Ancaman daripada spesies asing invasif ini bukan sahaja mencabar daripada sudut biologi dan ekologi, malah membawa implikasi besar terhadap ekonomi, sosial serta alam sekitar negara. 

“Oleh demikian, Jabatan Pertanian dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah merangka beberapa program untuk pendedahan kepada pekebun seperti seminar bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap ancaman serangga perosak terbabit,” katanya selepas merasmikan Seminar Ancaman IAS Terhadap Kelapa dan Kelapa Sawit di Pusat Pertanian Ayer Hitam di sini hari ini.

Mat Iesak berkata Jabatan Pertanian melalui Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022–2030 serta Pelan Tindakan Kebangsaan IAS 2021-2025 memfokuskan kepada peningkatan kesedaran awam, penilaian risiko spesies eksotik dan pengukuhan kawalan kuarantin di pintu masuk negara.

Beliau berkata seminar yang dilaksanakan itu diyakini akan menjadi pemangkin kepada perancangan strategi pengurusan IAS yang lebih tersusun, sekali gus meningkatkan agenda keterjaminan makanan negara dan memastikan sektor pertanian kekal mampan, lestari serta berdaya saing.

“Berdasarkan laporan terkini kumbang badak guam dikesan di ladang kelapa dan kelapa sawit di Lahad Datu, Sabah dengan pengesanan berkenaan dilaksanakan oleh MPOB, manakala serangan kumbang merah palma pula menyerang tanaman di Pangkalan Chepa, Kelantan.

“Langkah pengurusan pencegah IAS ini telah dilakukan segera oleh Jabatan Pertanian dengan melaksanakan kuarantin, pemantauan berkala dan pemasangan perangkap feromon serta penghapusan serta kawalan kimia dan biologi dijalankan,” katanya.

Beliau berkata kumbang merah palma juga diwartakan sebagai perosak berbahaya dan langkah itu penting bagi menghapus, membendung dan mengawal serangga IAS yang mampu menjejaskan ekonomi dan industri tanaman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan