Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pajakan Tanah Kilang MSM Prai: P.Pinang Sedia Jadi Pemudah Cara Antara Felda Dan RAC

19/09/2025 05:33 PM

GEORGE TOWN, 19 Sept (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang bersedia menjadi pemudah cara dalam menyelesaikan isu tanah kilang penapisan gula milik Malaysia Holdings Bhd (MSM Prai) di Perai, dekat sini yang kini beroperasi di atas tanah pajakan milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata walaupun tanah itu dimiliki RAC, tempoh pajakannya yang dijangka tamat dalam beberapa tahun lagi tetap tertakluk kepada pertimbangan kerajaan negeri sama ada dilanjutkan atau sebaliknya berdasarkan perbincangan antara MSM dan RAC.

''Tanah itu dimiliki RAC, bukan tanah kerajaan negeri, jadi rundingan perlu dijalankan secara terus antara MSM dan RAC kerana mereka adalah pihak yang berkepentingan.

Ad Banner

''Bagaimanapun, kerajaan negeri sedia menjadi pemudah cara kerana kita juga mahu melihat projek pembangunan perumahan yang dirancang RAC dapat direalisasikan (di kawasan berkenaan),'' katanya dalam sidang akhbar di Komtar di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan berunding dengan Kerajaan Pulau Pinang dan RAC bagi mempertimbangkan lanjutan tempoh pajakan tanah kilang penapisan gula milik MSM Prai.

Mengulas lanjut, Chow berkata RAC telah melancarkan projek perumahan di kawasan itu yang akan menempatkan semula penduduk setinggan termasuk di Kampung Manis dan projek berkenaan amat penting kerana ia melibatkan penempatan penduduk yang sebelum ini mendiami kawasan terbabit tanpa kebenaran.

Ad Banner

''Projek perumahan itu perlu diteruskan bagi memberikan kehidupan lebih selesa kepada penduduk terlibat,'' katanya dan menambah MSM juga mempunyai kemudahan di Johor yang boleh mengambil alih pengoperasian sekiranya kilang di Perai ditamatkan operasi dengan perkara berkenaan boleh dibincangkan mengikut keperluan sebenar.

Chow berkata kerajaan negeri juga akan mengambil maklum perkembangan berkenaan dan pihaknya juga mahu projek perumahan rakyat mampu milik (RMM) di kawasan itu berjalan lancar dan dalam masa sama isu MSM serta RAC dapat ditangani melalui perundingan secara baik.

"Ini adalah isu yang perlu dibincangkan di peringkat FELDA dan RAC, kedua-duanya merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), jadi kita yakin penyelesaian boleh dicapai secara baik dan kerajaan negeri akan memainkan peranan sebagai pemudah cara," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan