GEORGE TOWN, 19 Sept (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang memaklumkan beberapa agensi melaksanakan pemantauan cerun secara berkala dan berterusan bagi menjamin keselamatan dan mengelakkan risiko kejadian tanah runtuh terutama ketika musim hujan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pemeriksaan berkala itu dijalankan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang dan Bahagian Geoteknik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan semua maklumat mengenai tahap kritikal dilaporkan kepada agensi teknikal untuk tindakan segera.
“Agensi terlibat ini mempunyai pasukan geoteknik khusus yang menjalankan pemeriksaan berkala untuk menilai keadaan cerun dan mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu khususnya di kawasan berbukit dan berhutan yang sering dikunjungi penduduk serta pelancong.
“Keutamaan kami adalah keselamatan awam dan kami komited untuk mengambil tindakan awal, pemantauan juga dibuat di semua kawasan berisiko tinggi serta langkah itu penting supaya pencegahan dapat dibuat lebih awal sebelum insiden tidak diingini berlaku,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan negeri dalam memastikan kawasan cerun dan risiko berlaku tanah runtuh berada dalam keadaan selamat pada musim hujan ketika ini.
Chow berkata antara pemeriksaan berkala yang dipantau adalah kawasan aktiviti pertanian di kawasan berbukit dan MBPP telah memastikan laluan air semula jadi tidak dihalang oleh apa-apa struktur dan mematuhi Garis Panduan Keselamatan Aktiviti Pertanian di Kawasan Berbukit.
Beliau berkata bagi kawasan cerun yang terletak di bawah bidang kuasa badan pengurusan bersama (JMB) dan perbadanan pengurusan (MC), MBPP telah melaksanakan kesedaran awam dan berkongsi pandangan cara-cara penyelenggaraan cerun yang perlu dilaksanakan oleh mereka.
“Selain itu, tiada kelulusan diberikan bagi aktiviti pertanian di kawasan cerun sejak beberapa tahun lepas kerana kerja-kerja tanah yang dijalankan di kawasan cerun bukit berpotensi membawa risiko keselamatan tertentu termasuk hakisan dan tanah runtuh.
“Sekiranya terdapat permohonan baharu, pihak berkuasa menetapkan garis panduan keselamatan yang ketat bagi sebarang aktiviti pertanian di kawasan bukit dan langkah itu dilaksanakan bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dengan keselamatan awam serta kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata dalam aspek pembangunan, semua cadangan projek baharu mesti mematuhi Garis Panduan Keselamatan Pembangunan Tanah Bukit Pulau Pinang Edisi ke-2 (2020), yang dirangka untuk memastikan keselamatan struktur serta penduduk berhampiran.
“Bagi cerun yang terletak di bawah pentadbiran JKR, pihak CKC melaksanakan pemantauan berkala termasuk pemasangan sistem pemantauan (TMP) di kawasan yang dikenal pasti berisiko,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial