Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

FCoEE Anjur Persidangan Antarabangsa Perkasa Asnaf

20/09/2025 09:33 AM

Daripada Shuhaida Mohd Said

JAKARTA, 20 Sept (Bernama) -- Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) akan menganjurkan persidangan antarabangsa di Medan, Indonesia dalam usaha untuk memperkasakan golongan asnaf supaya dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

Pengerusi FCoEE Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata persidangan International Conference on Holistic Opportunities for Poverty Empowerment (ICOHOPE) yang bermula dari 25 hingga 27 Sept ini, akan disertai oleh para penyelidik serta akademia dari Bangladesh, Thailand, Indonesia dan Malaysia.

Ad Banner

"Dengan tema Empowering Asnaf Through Multidisciplinary Approaches, persidangan ini diharap akan dapat mengumpulkan data berkaitan yang berupaya membantu asnaf untuk menambah baik kehidupan mereka," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata ICOHOPE memberikan tumpuan kepada pelbagai bidang termasuk pendidikan, keusahawanan, teknologi, kesihatan sains serta pembangunan asnaf, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan strategi baharu dalam memperkasakan komuniti berpendapatan rendah.

"Kami juga berharap agar dengan data yang terkumpul, dapatlah kita tubuhkan sebuah pusat kajian asnaf di Malaysia kelak," katanya.

Ad Banner

Kamarudin berkata antara barisan pengucap utama pada persidangan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor, Presiden Universiti Fatani, Thailand Prof Madya Dr Ismail Lutfi Japakiya serta Pengasas dan Pengerusi Daffodil Family, Daffodil International University, Bangladesh Dr Md Sabur Khan.

Dalam pada itu, beliau berkata pada tahun ini sebanyak 36 geran penyelidikan telah dikeluarkan oleh FCoEE dengan nilai RM7,000 setiap satu, berbanding hanya 15 geran pada tahun lepas.

"Setiap hasil penyelidikan mestilah dibentangkan pada peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Kamarudin berkata bersempena dengan ICOHOPE juga, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil, akan menerima anugerah daripada beberapa universiti di Indonesia bagi mengiktiraf sumbangan baginda dalam pembangunan pendidikan termasuk mengasaskan FCoEE.

Beliau berkata sejak ditubuhkan pada 2022, FCoEE telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasakan bidang pendidikan negara, khususnya di Perlis.

FCoEE, katanya membantu sistem pendidikan dengan memberikan nilai tambah selain menyokong komuniti pendidikan mampan, mengintegrasikan pendidikan pintar dan tradisional serta menekankan program pendidikan praktikal untuk melahirkan masyarakat berdaya saing dan kebolehpasaran yang tinggi.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan