KUALA NERUS, 20 Sept (Bernama) -- Berbekalkan usaha gigih selain menjadikan pesanan arwah ibunya sebagai pembakar semangat, Wan Muhammad Haikal Wan Kamri melakar kejayaan apabila dinobatkan penerima Anugerah Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur.
Pengiktirafan itu disampaikan pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur 2025 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.
Wan Muhammad Haikal, 22, graduan Diploma Kejuruteraan Awam dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) berkata anugerah itu bukan sahaja mengiktiraf segala pengorbanan, malah menjadi tanda kasih serta dedikasi terhadap arwah ibunya Sharifah Endot, 53, yang sentiasa mendoakan kejayaannya selama ini.
Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata pesanan arwah ibunya yang meninggal dunia pada 5 Sept 2024 akibat masalah usus, sentiasa menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
“Arwah ibu selalu pesan supaya saya sambung pengajian sehingga Ijazah Sarjana Muda dan setiap kali rasa nak berputus asa, saya ingat semula pesanan arwah ibu untuk terus mencapai kejayaan,” katanya sambil menahan rasa sebak.
Berkongsi rahsia kejayaan akademiknya, Wan Muhammad Haikal menekankan kepentingan memberi fokus di dalam kelas supaya mudah memahami perkara yang disampaikan oleh pensyarah sepanjang proses pembelajaran.
Anak kelahiran Kuala Terengganu itu berkata dia turut membahagikan masa sebagai pelajar dan tanggungjawab Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan merancang jadual belajar secara tersusun.
“Saya biasanya belajar pada waktu malam. Saya akan tengok apa keutamaan dan kalau ada kerja MPP yang lebih mendesak, saya akan siapkan terlebih dahulu tapi kena pastikan setiap tugasan siap ikut masa.
“Apabila ada jadual, kita boleh rancang dan elak kerja bertindih. Belajar pun jadi lebih tersusun dan tak rasa terbeban,” katanya.
Selain memberi tumpuan kepada akademik, Wan Muhammad Haikal turut menasihati pelajar lain supaya tidak mudah berputus asa dalam menempuh cabaran sepanjang pengajian.
“Doa ibu bapa adalah kunci utama. Walaupun ibu saya sudah tiada, namun doanya semasa hidup masih menjadi kekuatan untuk saya terus bangkit,” katanya, sambil menambah disiplin dan keikhlasan dalam menuntut ilmu adalah asas kejayaan sebenar seorang pelajar.
Wan Muhammad Haikal yang kini melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyatakan hasrat untuk bergelar pensyarah pada masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial