PUTRAJAYA, 22 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata pulangan hasil daripada pelaksanaan penyasaran subsidi akan disalurkan semula kepada rakyat dengan keutamaan diberikan kepada sektor pendidikan, kesihatan dan penambahbaikan prasarana asas.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata langkah penyasaran subsidi diesel misalnya membolehkan kerajaan melaksanakan pemberian penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 kepada rakyat Malaysia.
“Kita mampu memberikan hasil balik kepada rakyat seperti penghargaan SARA... walaupun RM100, implikasi kewangan kepada negara itu RM2 bilion... ini dapat dilakukan kerana penyasaran subsidi minyak diesel dahulu.
“Sekarang penyasaran subsidi naik sedikit untuk bukan warganegara (tetapi) turun bagi rakyat, dan tentunya hasil pulangan itu akan kembali kepada rakyat seperti (mereka yang terkesan akibat) banjir yang menyebabkan banyak kerosakan termasuk di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, cerun, klinik dan sekolah yang terjejas teruk serta perlu dibangunkan semula.
“Ini merupakan beban baharu yang kita harus manfaatkan daripada dana ini untuk bantu rakyat terjejas dan tumpuan kita masih dalam bidang pendidikan, kesihatan dan prasarana asas,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Perdana Menteri juga berharap rakyat dapat menerima langkah berani kerajaan dalam melaksanakan penyasaran subsidi dengan hati yang terbuka demi kepentingan dan pembangunan negara.
“Jadi terimalah dengan baik... mudah-mudahan kita bersyukur kepada Allah SWT kerana negara aman, ekonomi masih bertahan, rakan-rakan penjawat awam (berperanan) dengan baik, dan kita mampu memberikan hasil balik kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter kepada warganegara Malaysia, yang berkuat kuasa 30 Sept ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial