PUTRAJAYA, 22 Sept (Bernama) -- Pegawai atau pentadbir tanah pada semua peringkat diseru agar menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih teliti, berstrategi dan berpandangan jauh memandangkan isu berkaitan tanah kini semakin kompleks, kata Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata pengurusan tanah di Malaysia memerlukan satu pendekatan baharu yang berorientasikan masa depan dengan penekanan kepada kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dalam memastikan tanah sebagai aset negara diurus secara strategik, cekap dan inklusif.
"Perkara yang saya nak tekankan, kita sebagai kakitangan yang terlibat dalam soal tanah ini, kalau dulu kita boleh mengambil mudah soal ini, tetapi hari ini negara telah bergerak ke hadapan. Kita kena lebih fokus dan lebih ambil tahu soal-soal ke hadapan yang tidak pernah kita lalui.
"Saya bagi contohlah macam tanah Kampung Baru ini. Apabila ada pembangunan semula flat-flat PKNS, dulu tidak ada orang pertikai pasal tanah, status tanah. Tetapi hari ini, isu itu (Kampung Sungai Baru) menjadi satu pertikaian yang sangat besar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Tanah (HTN) ke-9 di sini hari ini.
Merujuk kepada isu Kampung Sungai Baru, Johari berkata apabila tiada persetujuan tetap, perkara itu mengakibatkan pemaju sukar menjalankan tugas, dan pada masa sama wujud sentimen politik sehingga memerlukan anggota penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk masuk campur ketika perbalahan berlaku baru-baru ini.
Justeru, katanya, semua pihak termasuk pemaju, ahli politik dan jabatan kerajaan perlu mematuhi definisi serta dasar rasmi berkaitan dengan tanah agar naratif pembangunan tidak dikuasai oleh pihak luar.
"Apabila pendapat ini telah berpecah kepada dua, dan masuk pula orang politik dalam isu ini dan masuk pula pemaju-pemaju yang mengambil kesempatan kerana tidak ada definisi yang betul antara tanah Melayu, tanah biasa, pegangan bebas, dan pegangan pajak. Isu ini yang perlu kita pastikan dan kita, sebagai kerajaan, naratif ini mestilah datang daripada kita bukan daripada pemaju atau ahli politik," katanya.
Beliau turut menekankan hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri perlu diperkukuh dalam pengurusan tanah bagi mengelak pertindihan dasar dan kelewatan pelaksanaan projek.
"Dulu kita tidak ada masalah. Tetapi, apabila kini sudah 68 tahun kita merdeka, maka struktur kerajaan negeri ini juga telah berubah. Banyak isu dan dasar yang dikendalikan (oleh negeri) kemungkinan besar tidak sesuai lagi dengan kerajaan Persekutuan.
"Inilah perkara yang saya rasa sangat penting kita lihat ke hadapan dan kemungkinan juga ada masalah yang tidak disebut hari ini, ia akan menjadi isu pada masa akan datang. Ketika kita bergerak ke hadapan, maka itulah isu-isu yang kita kena perhatikan," kata Johari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial