Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lubang Benam: Kerja Baiki Paip Dijangka Siap Dalam Lima Hari - MBPP

22/09/2025 01:52 PM

GEORGE TOWN, 22 Sept (Bernama) -- Kerja-kerja membaiki paip pembetungan pecah milik Indah Water Konsortium (IWK), yang menyebabkan terbentuknya lubang benam di Jalan Burma berhampiran dengan persimpangan Jalan Transfer di sini, dijangka mengambil masa lima hari untuk disiapkan sepenuhnya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk A. Rajendran berkata pihak IWK dengan kerjasama MBPP telah bersetuju supaya kerja pembaikan dijalankan pada waktu malam bagi mengurangkan gangguan lalu lintas pada sebelah siang.

"Kerja dijangka siap dalam tempoh lima hari, namun kita telah minta pihak IWK memendekkan tempoh itu sekiranya boleh dan sepanjang tempoh pembaikan, dua lorong akan dibuka pada waktu siang manakala waktu malam hanya satu lorong dibuka bagi memberikan ruang kepada kerja-kerja pembaikan secara berperingkat.

Ad Banner

"Sekiranya dilakukan sepanjang hari, hanya satu lorong boleh dibuka dan langkah ini akan menyebabkan kesesakan serius, terutama di kawasan Jalan Penang hingga Jalan Macalister,'' katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di kawasan terbabit, hari ini.

Semalam, MBPP memaklumkan lubang benam yang terbentuk di Jalan Burma berhampiran dengan persimpangan Jalan Transfer di sini, berlaku akibat kebocoran paip pembetungan milik IWK bersaiz 300 milimeter (mm).

Rajendran berkata paip yang pecah itu berdiameter 21 inci dengan panjang keseluruhan 13 meter (m) dan dikesan bocor, pemeriksaan awal mendapati kerosakan itu serius sehingga pihak IWK memutuskan untuk mengganti keseluruhan paip berkenaan.

Beliau berkata kerja-kerja pengesanan masalah sahaja mengambil masa kira-kira dua hari sebelum keputusan dibuat untuk menukar keseluruhan paip dan proses baik pulih kini sedang giat dijalankan.

"Kos projek itu masih belum dimuktamadkan kerana ia bergantung pada kaedah pembaikan yang diperlukan," katanya.

Beliau berkata walaupun penutupan jalan sebenar melibatkan kawasan kira-kira 20 m, kesan kesesakan boleh berlaku hingga 200 m.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan