Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

CUEPACS Sambut Baik Penyasaran Subsidi Petrol95

22/09/2025 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Langkah penyasaran subsidi petrol RON95 diyakini dapat memastikan manfaat subsidi terus sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, termasuk majoriti penjawat awam yang berada dalam kategori B40 dan M40, menurut Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata dari sudut jangka panjang, rasionalisasi subsidi juga penting untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara, membolehkan kerajaan menyalurkan peruntukan tambahan kepada sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan dan kebajikan penjawat awam.

“CUEPACS menyambut baik langkah kerajaan dalam usaha melaksanakan penstrukturan semula subsidi RON95 dengan pendekatan lebih bersasar.

Ad Banner

“Sebagai kesatuan induk yang mewakili lebih 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara, kami memandang serius implikasi pelaksanaan dasar ini terhadap kesejahteraan pekerja sektor awam serta keberlangsungan ekonomi negara," menurut kenyataan itu.

Beliau berkata CUEPACS juga menekankan kepentingan komunikasi yang jelas dan telus kepada seluruh rakyat supaya pelaksanaan dasar itu dapat difahami dan diterima dengan baik, seterusnya menyumbang kepada kejayaan agenda kerajaan dalam membina ekonomi yang lebih mampan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa 30 Sept ini menerusi penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pendaftaran Negara, lebih 16 juta rakyat Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif itu. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan