Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MARDI Lancar Cabbioshield Di SKOr 2025, Pacu Pertanian Organik

23/09/2025 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini melancarkan biopestisida mesra alam CabbioShield sempena Seminar Kebangsaan Pertanian Organik (SKOr) 2025 di Bangi, Selangor.

Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI Dr Azman Ismail berkata inovasi itu yang dibangunkan penyelidik MARDI menggunakan inokulan mikrob aktif strain tempatan, mampu mengurangkan serangan reput lembut pada tanaman kubis sehingga 77.4 peratus serta meningkatkan hasil boleh jual sebanyak 55.8 peratus.

“Pelancaran CabbioShield membuktikan komitmen MARDI dalam meneroka penyelesaian teknologi tempatan bagi menyokong pertanian organik dan konvensional secara serentak dengan pendekatan lestari, mesra alam dan berdaya ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ad Banner

Beliau berkata, pertanian organik wajar dijadikan antara tonggak utama sistem makanan negara, selaras dengan dasar Malaysia MADANI serta Matlamat Pembangunan Lestari 2050.

Setakat ini, katanya, kurang daripada satu peratus kawasan pertanian di Malaysia disahkan organik, namun inisiatif seperti projek padi organik di Kelantan membuktikan potensi pengeluaran hasil tanpa penggunaan input kimia sintetik.

Azman berkata, perkembangan itu memperlihatkan potensi besar pertanian organik sekiranya diurus secara sistematik dan mampan.

Menurutnya, sejak diperkenalkan pada 2003, Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic) telah mengiktiraf lebih 700 hektar ladang di seluruh negara, termasuk ladang organik MARDI yang turut berfungsi sebagai pusat penyelidikan, latihan dan demonstrasi teknologi pertanian organik.

Berhubung SKOr 2025, beliau berkata seminar tiga hari yang berlangsung sehingga Khamis itu bertemakan “Kelestarian dan Keselamatan Makanan melalui Inovasi Pertanian Organik”, dengan objektif memperkukuh daya saing pertanian organik sekali gus menjadikannya sebahagian daripada sistem makanan arus perdana negara.

Seminar anjuran bersama Petronas, Kerajaan Negeri Selangor, Universiti Malaya dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu turut menampilkan pembentangan kertas kerja, pameran inovasi serta sesi panel melibatkan pemain industri, ahli akademik, pembuat dasar, petani, usahawan dan pelajar.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan