Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Misi Kemanusiaan GSF Semakin Hampir Menuju Gaza - Aktivis

24/09/2025 12:56 AM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Memasuki hari ke-24, kumpulan konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang memulakan pelayaran dari Barcelona kini semakin hampir dalam perjalanan menuju ke Gaza.

Aktivis Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM Malaysia) Zulfadhli Khiruddin yang menyertai misi kemanusiaan itu berkata kumpulannya kini berada di antara perairan Greece dan Libya, dengan hampir 58 kapal pelbagai saiz dijangka bertemu dengan kumpulan terakhir yang bergerak dari Greece sekitar 24 jam lagi.

“Harapan kami semoga diberikan sokongan terus dan kami memohon doa supaya objektif utama kami iaitu memecah kepungan di Gaza akan berjaya,” katanya dalam perkongsian video. 

Ad Banner

Zulfadhli turut memaklumkan mereka kini berada dalam keadaan berjaga-jaga pada tahap tertinggi kerana kumpulan itu semakin mendekati zon kritikal.

Selain itu, beliau berkata pasukan yang menyertai misi itu melakukan training drill beberapa kali dalam sehari bagi bersiap siaga dengan sebarang bentuk ancaman Zionis serta sebarang kemungkinan lain.

Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean dengan membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini, membabitkan lebih 1,000 sukarelawan yang menaiki hampir 70 bot dengan satu matlamat iaitu memecah kepungan terhadap Gaza.

Semua sukarelawan dari Malaysia bernaung di bawah panji Sumud Nusantara diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah penaung Sumud Nusantara melibatkan Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand.

GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan