Oleh Rozainah Abdul Rahim
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) amat menyokong pelaksanaan Kempen Internet Selamat di sekolah kerana ia boleh menjadi benteng untuk melindungi pelajar daripada menjadi mangsa penjenayah siber.
Setiausaha Agung NUTP Fauzi Singon berkata ini adalah kerana kempen kelolaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu berupaya menimbulkan kesedaran tentang keselamatan digital dan memberi kefahaman mengenai cara melindungi maklumat peribadi.
“Kempen Internet Selamat dianjurkan oleh MCMC bertujuan mendidik pengguna, termasuk murid sekolah supaya menggunakan Internet secara bijak, beretika dan selamat.
“Keselamatan siber menjadi satu agenda penting dalam dunia digital sekarang. Murid berisiko terdedah kepada perkara negatif dan penipuan.
“Ugutan siber mudah dikenakan kepada murid yang tidak cukup pengetahuan dan pengalaman dalam menghadapi situasi baharu ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Fauzi berkata melalui Kempen Internet Selamat, murid dapat belajar untuk mengenal pasti tingkah laku buli siber dan cara melaporkan kejadian dalam usaha pencegahan jenayah itu, sekali gus membantu mewujudkan suasana Internet yang lebih positif.
Beliau berkata pihak NUTP amat menyokong pelaksanaan kempen itu kerana ia mendidik murid menggunakan Internet secara beretika dengan menghormati orang lain, tidak menyebar fitnah atau berita palsu seterusnya membentuk nilai murni ketika berinteraksi di media sosial.
“Murid dapat mengenali berita benar dan berita palsu serta belajar cara menggunakan teknologi dengan bertanggungjawab untuk pelajaran.
“Pembelajaran menjadi lebih selamat dan berkesan apabila murid tahu memilih laman web atau aplikasi pembelajaran yang sahih serta mengelak terdedah kepada kandungan tidak sesuai seperti keganasan dan pornografi,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata pihaknya berharap ibu bapa dan guru turut dilibatkan dalam pelaksanaan kempen ini.
“Kami amat mengalu-alukan kempen begini tetapi ia perlu memberi penerangan bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada para guru dan ibu bapa.
“Ia perlu diperluaskan lagi dengan mengadakan kempen termasuk seminar dan dialog di sekolah dengan kerap dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berpandangan kempen berkenaan akan lebih berkesan apabila ibu bapa dilibatkan dalam dialog dengan MCMC di sekolah kerana mereka boleh mengemukakan sebarang pertanyaan atau kemusykilan terus kepada pihak berkenaan.
Mohamad Ali berkata pelaksanaan Kempen Internet Selamat setakat ini menunjukkan hasil positif dan yakin penyalahgunaan teknologi berkenaan dalam kalangan pelajar dapat dielakkan.
“Kami harap ia berterusan dan tidak diadakan hanya pada waktu tertentu supaya ia benar-benar dapat memberikan kesedaran dan keinsafan kepada semua warganegara,” katanya.
Sehingga 1 Sept lepas, sebanyak 1,928 sekolah di seluruh negara dilaporkan mengikuti modul Kempen Internet Selamat, termasuk 144 sekolah di Selangor dan 76 sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial