Oleh Kuvineshwaren Nedunjelian
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Aritmia atau degupan jantung tidak normal terutama fibrilasi atrium (AF) antara gangguan irama jantung paling kerap berlaku tetapi jarang dikesan di Malaysia, dan boleh membawa kepada komplikasi serius seperti strok dan kegagalan jantung sekiranya tidak dirawat.
Pakar Perunding Kardiologi di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) Dr Koh Kok Wei berkata AF adalah aritmia paling lazim di seluruh dunia yang menjejaskan kira-kira satu peratus populasi. Risiko lebih tinggi dikesan dalam kalangan individu berusia 65 tahun ke atas serta pesakit diabetes dan darah tinggi.
“AF pada asasnya adalah degupan jantung tidak normal dan bahayanya terletak pada peningkatan risiko strok serta dalam sesetengah kes, kegagalan jantung. Ramai pesakit hanya menyedari mereka menghidap AF ketika pemeriksaan rutin atau selepas komplikasi berlaku,” katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif.
Beliau berkata sesetengah pesakit menunjukkan simptom sesak nafas, bengkak kaki, dada berasa ketat atau kesukaran bernafas, manakala ada juga yang hanya mengetahui mereka menghidap AF apabila dimasukkan ke jabatan kecemasan selepas mengalami strok.
Dr Koh, yang pakar dalam elektrofisiologi berkata rawatan moden untuk aritmia kini jauh lebih maju berbanding beberapa dekad lepas apabila pembedahan jantung terbuka diperlukan untuk memotong dan membuang laluan elektrik abnormal dalam jantung.
“Bagi aritmia terutama degupan jantung yang laju dan tidak normal, kebanyakan rawatan kini dilakukan melalui tebukan kecil tanpa perlu membelah dada. Ia selalunya dijalankan dengan bius setempat dan separuh sedar. Dalam banyak kes, pesakit boleh discaj dalam tempoh sehari selepas ablasi frekuensi radio,” katanya.
Beliau berkata kadar kejayaan merawat takikardia supraventrikular (SVT) iaitu keadaan jantung berdebar laju, melebihi 95 peratus, manakala hasil rawatan fibrilasi atrium semakin meningkat selaras dengan kemajuan teknologi.
Dr Koh turut menekankan kepentingan diagnosis tepat pada masanya serta keperluan perkhidmatan hospital yang menyeluruh untuk memastikan penjagaan pesakit yang lancar.
“Sebuah hospital kardiologi yang lengkap sebaik-baiknya merangkumi perkhidmatan elektrofisiologi, bersama teknologi dan kepakaran bagi menguruskan gangguan degupan jantung yang kompleks,” tambahnya.
SJMC dilengkapi dengan dua sistem angioplasti terkini yang meningkatkan kapasiti hospital untuk mendiagnosis dan merawat keadaan jantung yang kompleks.
Terletak secara strategik di aras yang sama dengan Wad Kardiologi dan Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU), fasiliti baharu itu meningkatkan akses pesakit, keselamatan, masa pemulihan serta hasil klinikal, sekali gus menggandakan jumlah pesakit yang kini boleh mendapat manfaat daripada perkhidmatan kateterisasi yang menyelamatkan nyawa.
Mengukuhkan lagi komitmen terhadap kecemerlangan, Perkhidmatan Kardiologi SJMC diiktiraf oleh Australian Council on Healthcare Standards International (ACHSI) sebagai Pusat Kecemerlangan (COE).
Dr Koh menggesa rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup lebih sihat untuk mengurangkan risiko gangguan degupan jantung.
“Makan secara sihat, lebihkan bersenam dan lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Gaya hidup dan pemakanan sememangnya banyak menyumbang kepada landskap penyakit masa kini,” katanya.
Beliau berkata rakyat Malaysia berusia 40 tahun ke atas perlu menjalani saringan kesihatan secara berkala kerana banyak penyakit bermula tanpa simptom atau hanya dengan simptom yang sangat minimum.
-- BERNAMA
(Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.)
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial