Daripada V. Sankara
DILI (TIMOR-LESTE), 24 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan penghargaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, atas sokongan berterusan Malaysia terhadap usaha Timor-Leste ke arah keanggotaan ASEAN.
Dalam ucapan bersejarah di Parlimen Timor-Leste, Anwar menegaskan bahawa Malaysia mengekalkan pendirian konsisten sejak awal perjuangan negara itu untuk menuntut kemerdekaan.
“Ramai antara anda menyebut tentang prakemerdekaan dan pascakemerdekaan ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Beliau menunjukkan konsistensi dalam ucapannya. Saya percaya kini menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan proses penyertaan ini berjalan lancar,” kata beliau.
Beliau turut memuji Parlimen Timor-Leste sebagai “nadi demokrasi” dan menyatakan sokongan padu Malaysia terhadap penyertaan penuh negara itu dalam ASEAN.
Anwar berkata perjalanan demokrasi Timor-Leste menjadi inspirasi bagi rantau ini, menonjolkan kesungguhan negara itu dalam menghadapi cabaran dan diskriminasi sehingga berjaya berdiri megah sebagai sebuah negara merdeka.
“Parlimen pada dasarnya adalah nadi demokrasi dan institusi yang wajar dihargai serta dipelihara dengan selamat. Saya memuji Timor-Leste kerana ketabahan, keberanian dan keyakinan mereka. Walaupun sebuah negara kecil, mampu membangunkan ekonomi. Nilai kemanusiaan dan sifat belas kasihan sebegini amat mengagumkan,” kata beliau.
Perdana Menteri yang dalam lawatan rasmi dua hari ke Timor-Leste itu turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus memperjuangkan keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN, dan tiada sebab untuk menangguhkan proses berkenaan.
"Dengan apa juara cara, saya mesti meyakinkan semua kerajaan dan pemimpin ASEAN serta menggunakan segala sumber dan keupayaan yang saya miliki untuk memastikan Timor-Leste menjadi anggota penuh ASEAN. Inilah komitmen teguh Malaysia,” kata beliau dengan disambut tepukan gemuruh.
Anwar turut memberi jaminan syarikat Malaysia yang melabur di Timor-Leste akan melakukannya dengan penuh tanggungjawab, dengan penekanan pada perkongsian dan manfaat bersama, tidak seperti amalan eksploitatif yang sering dikaitkan dengan syarikat multinasional.
“Ya, melabur dan meraih keuntungan. Tetapi sentiasa diingatkan supaya tidak mengulangi amalan berlebihan yang mengeksploitasi, sebaliknya harus memperkasakan,” kata beliau.
Anwar yang mewakili Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, turut menyentuh hubungan peribadinya dengan Timor-Leste, mengimbau peranan Presiden Dr Jose Ramos-Horta serta kepimpinan negara itu yang sentiasa mempertahankan kebebasan dan keadilan, termasuk ketika beliau sendiri berdepan cabaran politik.
“Siapa yang bersuara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)? Bukan kuasa-kuasa besar tetapi suara pemimpin kecil seperti Ramos-Horta. Saya menyanjung anda atas keberanian itu,” kata beliau.
Beliau berkata sokongan Malaysia terhadap Timor-Leste tidak hanya terbatas pada hubungan diplomatik, tetapi juga terjalin atas dasar persahabatan yang tulus.
“Kita bukan hadir sebagai wakil sebuah kerajaan, tetapi sebagai rakan seperjuangan - untuk berkongsi rasa, aspirasi dan bersama-sama membina kemajuan,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial