Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jabatan Kesihatan Kelantan Catat 52.9 Peratus Imunisasi MRSIA

24/09/2025 04:47 PM

KOTA BHARU, 24 Sept (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Kelantan sedang melaksanakan Program Aktiviti Imunisasi Tambahan Measles dan Rubella (MRSIA) dan berjaya mencapai liputan 52.9 peratus selepas 48 hari pelaksanaannya.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata setakat 20 Sept lepas, sebanyak 48,396 kanak-kanak berusia enam hingga 59 bulan telah menerima suntikan vaksin MR, bersamaan dengan 52.9 peratus daripada sasaran keseluruhan 91,500 kanak-kanak di seluruh Kelantan.

“Daripada jumlah itu, 96.7 peratus penerima terdiri daripada warganegara manakala 3.3 peratus lagi bukan warganegara. Program ini terbuka kepada semua kanak-kanak tanpa mengira status vaksinasi sedia ada.

Ad Banner

“Tiga daerah mencatatkan liputan melebihi 60 peratus, iaitu Jeli (81.0 peratus), Tanah Merah (67.5 peratus) dan Bachok (65.2 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lima daerah lain merekodkan liputan antara 50 hingga 60 peratus, iaitu Pasir Puteh (54.8 peratus), Pasir Mas (53.2 peratus), Machang (53.0 peratus), Tumpat (51.7 peratus) dan Gua Musang (50.2 peratus).

Dr Zaini berkata dua daerah masih mencatatkan liputan bawah 50 peratus, iaitu Kota Bharu (44.6 peratus) dan Kuala Krai (48.8 peratus).

Beliau berkata pencapaian semasa membuktikan komitmen masyarakat serta usaha gigih petugas kesihatan bersama dengan pelbagai agensi bagi memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan daripada penyakit campak dan rubela.

“Namun, berdasarkan data Unit Kesihatan Keluarga, terdapat 12.8 peratus ibu bapa dan penjaga yang masih ragu-ragu untuk membawa anak mereka mendapat suntikan imunisasi tambahan MR.

“Jabatan kesihatan menyeru semua ibu bapa dan penjaga agar segera membawa anak-anak yang layak divaksin bagi melindungi mereka daripada penyakit campak dan rubela serta memperkukuh imuniti kelompok,” katanya.

Beliau berkata kerjasama masyarakat amat diperlukan untuk mencapai sasaran liputan 95 peratus menjelang tarikh akhir program pada 12 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan