Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program Kesihatan MASCHON Sasar 1,500 B40, Orang Asli

24/09/2025 06:10 PM

IPOH, 24 Sept (Bernama) -- Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) menyasarkan 1,500 individu berpendapatan rendah (B40) khususnya dalam kalangan wanita dan komuniti Orang Asli untuk menyertai program Rangkaian Pusat Pencerapan Kesihatan Komuniti SDG (MASCHON). 

Pengarah Urusan NCSM Prof Dr M Murallitharan berkata pelaksanaan MASCHON yang dilancarkan hari ini akan tertumpu pada tujuh kawasan terpilih iaitu Tambun, Batu Gajah, Alor Gajah, Kuala Kubu Bharu, Karak, Iskandar Puteri dan Pulau Pinang.

“MASCHON ialah platform penting untuk memperkasakan komuniti dengan ilmu dan data kesihatan, melalui kerjasama ini, kami ingin memastikan bahawa wanita dan komuniti Orang Asli bukan sahaja menerima rawatan tetapi turut terlibat aktif dalam memantau dan meningkatkan kesihatan mereka sendiri.

Ad Banner

“"Fokus utama kami termasuk mempromosikan penyertaan inklusif dalam SDG (Matlamat Pembangunan Mampan) terutamanya berkaitan isu-isu kesihatan tempatan seperti kesihatan seksual dan reproduktif, malnutrisi serta pencegahan dan pengurusan penyakit tidak berjangkit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran MASCHON di Dewan NCMS-CARITAS di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.

Murallitharan berkata program tersebut akan memberi penekanan kepada tiga aspek utama iaitu nutrisi dan pemakanan sihat, hak kesihatan seksual dan reproduktif serta pencegahan dan pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Kami telah beroperasi selama kira-kira dua tahun di tapak ini dan pada tahun lepas kami telah dengan jayanya melakukan vaksinasi percuma HPV kepada lebih 20,000 wanita di seluruh negeri Perak dengan kos dianggarkan kira-kira RM7 juta,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menjalankan saringan kanser dan saringan kesihatan menerusi kerjasama klinik bergerak di seluruh negeri selain aktiviti komuniti,

Laporan Registri Kanser Kebangsaan 2017 hingga 2021 menunjukkan peningkatan membimbangkan penyakit itu di Perak membabitkan 65.3 peratus kes kanser dilaporkan pada tahap lewat iaitu tahap tiga atau empat berbanding 63.7 peratus pada lima tahun sebelumnya.

Di samping itu, Perak juga merupakan antara tiga negeri teratas dengan jumlah kes tertinggi bagi beberapa jenis kanser termasuk kanser payudara dan paru-paru, selain kerugian ekonomi negeri akibat penyakit itu dilaporkan kira-kira RM6.94 juta setahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan